Thursday, 26 July 2012

Oh Telur!

Stok telur ayam adalah salah satu bahan wajib yang mesti ada dalam stok bahan mentah di dapur. Masak nasi goreng, mee hun sup, pancake dan telur bungkus (pastinya), mesti nak kena ada telur. Jika waktu kecemasan atau waktu kemalasan menebal, telur goreng menjadi pilihan yang pantas dan tuntas. 

Tapi, disebabkan stok telur yang dibeli selalunya 30 biji, kadang-kadang masih ada stok telur lama dalam peti sejuk. Label tarikh luput entah dah ke mana. Tarikh membeli telur itu pun saya tak ingat. Sudah pastinya saya akan ragu-ragu kesegaran telur stok lama itu.

Jadi solusi saya kebiasaanya, saya akan terus memasak menu yang ada telur dan gunakan telur stok lama tersebut untuk mengelakkan pembaziran. Walaupun hakikat tekak yang mungkin tak nak makan telur, kena perah otak dan google cari resepi yang bertemakan telur. 

Google punya google, saya terjumpa satu tips mudah bagaimana nak mengenalpasti kesegaran telur.





Sediakan semangkuk atau segelas air biasa (air paip saja pun boleh). Pastikan paras air sekurang-kurangnya dua kali lebih tinggi dari telur. Masukkan telur pilihan anda ke dalam mangkuk tadi. Jika telur itu tenggelam, ianya masih segar. Tapi jika ia terapung di permukaan air, ia dah tak segar lagi, dan mungkin dah jadi tembelang.



Ujian kesegaran telur. Sumber gambar.


Ok, mari kita siasat sifat telur dan mengapa ia akan terapung jika dah tak segar. Kulit telur mempunyai liang halus, di mana udara boleh menembusinya. Semakin lama usia telur, semakin banyak udara yang diisi ke dalam telur tersebut. Ini menjadikan telur cukup ringan untuk terapung. Jika diperhatikan, telur segar lebih berat berbanding telur yang lama.

Saya membuat ujian kesegaran telur pada stok telur saya, dan hasilnya...



Ya... Stok telur lama masih lagi segar! 

Tapi, walaupun tertanya kesegarannya, saya dah berfikir untuk menggunakannya dalam masakan berbuka nanti. Selamat menjadi juadah wahai telur yang menjadi bahan ujikaji hari ini..!