Saturday, 10 May 2014

Hari Ini Hari Emak

10/5/2014

Seawal pagi saya bangkitkan anak-anak untuk ke rumah Neksu mereka di Bangsar. Kedua-dua orang tua saya sudah dua malam di sana. Waktu cuti Johor dan Selangor berbeza, jadi kami hanya berkongsi hari cuti yang sama pada hari ini (Sabtu) sahaja. Kereta meluncur laju cuba berlumba waktu.

Tiba di Bangsar, Mak dan Abah sudah menanti di pagar untuk keluar membeli sarapan di gerai berhampiran. Pada awalnya berhajat untuk bungkus sahaja, tapi rezeki kami ada meja kosong, maka terus sahaja nasi lemak dan air teh tarik dipesan.

Mak sudah habis makan awal, jadi dia ambil giliran menjaga Ali sementara saya menikmati juadah sarapan saya pula. Mak bawa Ali pusing-pusing sekitar gerai makan.

Ternampak Mak berhenti berbual di meja sekumpulan warga emas berkopiah, boleh diagak mereka adalah geng masjid. Dan Mak kemudiannya melambai-lambai memanggil saya datang ke meja tersebut. Apakah halnya ya?

"Aliyah, inilah dia Dr. Salleh!" 

MashaAllah, akhirnya saya bertemu empat mata dengan doktor yang menyambut kelahiran saya hampir 30 tahun dulu di Hospital Bersalin Kuala Lumpur. Di hospital kerajaan (zaman dulu-dulu, tak pasti bagaimana pula sekarang) sangat jarang seorang doktor pakar menyambut kelahiran normal yang tiada komplikasi. Lazimnya bidan sahaja yang menyambut kelahiran kes berisiko rendah.

Oleh kerana bertuahnya kelahiran saya, Mak mengabadikan nama doktor pakar yang menyambut kelahiran saya itu sebagai tambahan nama saya di sijil kelahiran, iaitu Nuraliyah Sallehah. Bahkan sewaktu kecil, kakak saya pernah cemburu dengan kisah kelahiran saya, dan kemudian berseloroh "Nasib baik Dr. Salleh yang sambut tau. Kalau doktor tu nama Arumugam, macamana pulak?"

Dengan teruja, Mak memperkenalkan saya dengan nama penuh saya kepada Dr. Salleh pada pagi yang ceria itu. Dr. Salleh kini bertugas di Pusrawi sebagai pengarah. 

Pertemuan ringkas yang tak dirancang itu membuahkan senyuman di wajah masing-masing. Seperti mana saya selalu rasa teruja bercampur tersentuh hati setiap kali membaca atau menonton video kelahiran bayi, begitu juga kali ini. Walaupun tiada perincian jalan cerita kelahiran saya yang Mak pernah ceritakan kepada saya melainkan rasa sakit jahitan yang lambat baik, namun melihat kegembiraan yang terzahir di wajah Mak, saya dapat merasakan ianya salah satu pengalaman yang manis pernah berlaku dalam hidupnya.

Dan, apabila pulang ke rumah Acu (anak-anakku memanggil Neksu) setelah usai bersarapan, saya pula mendapat kejutan dari Balqis. Dia hulurkan sekeping kad ucapan •Happy Mother's Day, Mom•

Sejujurnya saya tak ingat pun hari itu ada sambutan hari apa. Namun yang nyatanya, saya gembira meluangkan seharian hari itu bersama Mak saya, Acu dan anak-anak serta ahli keluarga yang lain.

Doa saya Mak selalu dalam rahmat Allah, bukan sahaja pada hari yang khusus sahaja, tapi pada setiap hari yang telah berlalu dan hari-hari yang mendatang...

"Ya Allah ampunilah daku, dan kedua ibu bapaku. Dan kasihanilah mereka seperti mana mereka pernah memeliharaku sejak kecil lagi..."






Friday, 9 May 2014

Masuk TV?

Kisah ini sudah hampir basi. Tapi saya mahu coretkan juga untuk kenang-kenangan sebelum terlupa.

Suatu hari di bulan April, saya dihubungi oleh seorang pembantu penerbit rancangan Wanita Hari Ini TV3. Melalui panggilan telefon yang singkat itu, beliau menyatakan ingin menemubual saya dan suami berkenaan kisah homebirth kami. Setelah berbincang dengan suami, saya kembali menghubungi beliau untuk aturkan temujanji.

Kami berasa sedikit gementar, al-maklumlah bukan artis (kihkih), dan semestinya bukan seorang yang layak berbicara soal perbidanan pun. Ini menyebabkan kami merahsiakan sessi penggambaran tersebut dari pengetahuan keluarga dan teman sehinggalah selesai semuanya nanti. 

Tiba di hari yang dijanjikan iaitu Jumaat 25/4/14. Tempat temujanji adalah di taman permainan Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. Kami terlewat tiba sebab tersalah taman permainan. Mereka di seberang tasik! Berpeluh ketiak berpusing-pusing di taman, akhirnya suami memandu kereta ke seberang tasik untuk ke tempat yang betul.

Balqis dan Umar kami tinggalkan bermainan di taman permainan bersama Cici (adik ipar). Kami bawa Ali untuk sessi rakaman yang dilakukan di pondok berhampiran taman permainan tersebut.

Kamera telah siap dipasang. Simple dan bersahaja tim WHI yang datang iaitu pembantu penerbit dan seorang jurukamera. Sessi temubual sangat santai, tapi saya gugup sekali sebab tak biasa di hadapan kamera. 

Saya diminta bercerita kisah homebirth, dan ada beberapa "keyword" soalan iaitu:
-cemas?
-komplikasi selepas lahir?
Kami jawab berdasarkan pengalaman yang telah kami alami. Aksi anak-anak saya di taman permainan juga dirakam, termasuklah aksi Umar tantrum kerana keletihan seharian berjalan. 

Usai penggambaran, kami segera pulang ke kampung. Sepanjang perjalanan, dalam hati saya sangat berharap kepada Allah, bahawa sessi tersebut hasilnya baik-baik sahaja dan memberi manfaat kepada penonton.

Hari bersiaran. Selasa 29/4/14. Berdebar di hadapan laptop menonton siaran langsung dari Tonton.my. Apakah outputnya?


Wanita Hari Ini 2014 - Episod 84 - Risiko Bersalin Sendiri

Teman-teman boleh menontonnya di link berikut. 


Dr. Norhazinat Yunus, pakar O&G yang menjadi jemputan untuk slot "Risiko Bersalin Sendiri" ini sangat supportive! Untuk ibu-ibu yang mencari doktor yang menyokong bersalin secara alami, boleh hubungi doktor tersebut di Tropicana Medical Centre.