Showing posts with label Famili. Show all posts
Showing posts with label Famili. Show all posts

Saturday, 10 May 2014

Hari Ini Hari Emak

10/5/2014

Seawal pagi saya bangkitkan anak-anak untuk ke rumah Neksu mereka di Bangsar. Kedua-dua orang tua saya sudah dua malam di sana. Waktu cuti Johor dan Selangor berbeza, jadi kami hanya berkongsi hari cuti yang sama pada hari ini (Sabtu) sahaja. Kereta meluncur laju cuba berlumba waktu.

Tiba di Bangsar, Mak dan Abah sudah menanti di pagar untuk keluar membeli sarapan di gerai berhampiran. Pada awalnya berhajat untuk bungkus sahaja, tapi rezeki kami ada meja kosong, maka terus sahaja nasi lemak dan air teh tarik dipesan.

Mak sudah habis makan awal, jadi dia ambil giliran menjaga Ali sementara saya menikmati juadah sarapan saya pula. Mak bawa Ali pusing-pusing sekitar gerai makan.

Ternampak Mak berhenti berbual di meja sekumpulan warga emas berkopiah, boleh diagak mereka adalah geng masjid. Dan Mak kemudiannya melambai-lambai memanggil saya datang ke meja tersebut. Apakah halnya ya?

"Aliyah, inilah dia Dr. Salleh!" 

MashaAllah, akhirnya saya bertemu empat mata dengan doktor yang menyambut kelahiran saya hampir 30 tahun dulu di Hospital Bersalin Kuala Lumpur. Di hospital kerajaan (zaman dulu-dulu, tak pasti bagaimana pula sekarang) sangat jarang seorang doktor pakar menyambut kelahiran normal yang tiada komplikasi. Lazimnya bidan sahaja yang menyambut kelahiran kes berisiko rendah.

Oleh kerana bertuahnya kelahiran saya, Mak mengabadikan nama doktor pakar yang menyambut kelahiran saya itu sebagai tambahan nama saya di sijil kelahiran, iaitu Nuraliyah Sallehah. Bahkan sewaktu kecil, kakak saya pernah cemburu dengan kisah kelahiran saya, dan kemudian berseloroh "Nasib baik Dr. Salleh yang sambut tau. Kalau doktor tu nama Arumugam, macamana pulak?"

Dengan teruja, Mak memperkenalkan saya dengan nama penuh saya kepada Dr. Salleh pada pagi yang ceria itu. Dr. Salleh kini bertugas di Pusrawi sebagai pengarah. 

Pertemuan ringkas yang tak dirancang itu membuahkan senyuman di wajah masing-masing. Seperti mana saya selalu rasa teruja bercampur tersentuh hati setiap kali membaca atau menonton video kelahiran bayi, begitu juga kali ini. Walaupun tiada perincian jalan cerita kelahiran saya yang Mak pernah ceritakan kepada saya melainkan rasa sakit jahitan yang lambat baik, namun melihat kegembiraan yang terzahir di wajah Mak, saya dapat merasakan ianya salah satu pengalaman yang manis pernah berlaku dalam hidupnya.

Dan, apabila pulang ke rumah Acu (anak-anakku memanggil Neksu) setelah usai bersarapan, saya pula mendapat kejutan dari Balqis. Dia hulurkan sekeping kad ucapan •Happy Mother's Day, Mom•

Sejujurnya saya tak ingat pun hari itu ada sambutan hari apa. Namun yang nyatanya, saya gembira meluangkan seharian hari itu bersama Mak saya, Acu dan anak-anak serta ahli keluarga yang lain.

Doa saya Mak selalu dalam rahmat Allah, bukan sahaja pada hari yang khusus sahaja, tapi pada setiap hari yang telah berlalu dan hari-hari yang mendatang...

"Ya Allah ampunilah daku, dan kedua ibu bapaku. Dan kasihanilah mereka seperti mana mereka pernah memeliharaku sejak kecil lagi..."






Wednesday, 9 October 2013

Anak Ketigaku: Bersalin di Rumah - Bahagian 3


Selasa, 18 Jun 2013

Lagi seminggu genap 40 minggu kehamilan. 

Lebih kurang jam 8 malam, ketika sedang menyiapkan makan malam, saya mula rasa sensasi yang ringan. Rasanya lebih kurang Braxton Hicks yang selalu dirasai, namun di hati saya ada terdetik mungkinkah ini masanya? Namun saya biarkan sahaja menikmati rasa itu seperti selalu. Sambil memasak, saya goyangkan punggung perlahan-lahan (swaying/rocking hips).

Rasa itu berulang-ulang. Saya biarkan rasa itu, sambil duduk di atas gym ball ataupun berdiri sambil swaying. Saya teruskan aktiviti makan malam, dan kemudian menidurkan anak-anak. Umar, seperti selalunya, menyusu untuk melelapkan mata, dan rasa kontraksi semakin ketara. 


Gaya duduk di atas birthing ball oleh Umar. 

Saya beritahu pada suami, sensasi kali ini sedikit luarbiasa, dan ada kemungkinan saya akan melahirkan. Suami langsung menukar kain pelikat kepada seluar dan mengeluarkan beberapa biji bantal ke ruang tamu untuk membantu saya supaya selesa.

Saya memuat turun aplikasi contraction timer di handphone suami untuk merekod durasi dan kekerapan kontraksi. Tapi, banyak kali saya tak sempat tekan butang Start, sebab tiap kali rasa kontraksi datang saya sibuk tarik nafas, berjalan atau swaying. Jadi, sememangnya sepanjang labor, saya tidak ambil tahu apakah tahap timing contractions yang saya alami. Saya hanya biarkan masa berlalu dan menikmatinya, sambil mendengar alunan Surah Maryam tanpa henti.


Kneeling position. Saya juga melakukan posisi ini dengan
beberapa bantal yang disusun tinggi.



Rabu, 19 Jun 2013

Tengah malam, rasa kontraksi semakin ketara. 

Air panas siap dijerang oleh suami, dan saya memintanya segelas air Raspberry Tea Leaf untuk diminum. Saya menghirup air teh itu sambil makan kurma. 

Hampir jam 1.00 pagi, saya menunaikan solat sunat dan witir untuk menenangkan hati yang sedikit berdebar. Allahu Akbar! Rasa kontraksi seolah-olah hilang sepanjang saya menunaikan solat. Betapa Allah Maha Mendengar dan bantu meringankan rasa sakit, supaya saya mampu bertenang dan fokus kembali. *Berposisi sujud juga adalah salah satu posisi yang bagus ketika dalam labor.

Suami menyuruh saya tidur dipangkuannya kerana khuatir saya keletihan. Saya hanya mampu melelapkan mata beberapa minit sahaja kerana rasa kontraksi yang kuat. Suami mengusap-usap belakang saya, dan mengurut dahi di bahagian kening saya apabila saya kelihatan stress dan berkerut ketika kontraksi.

Sekitar jam 2.30 pagi, saya menghantar SMS pada Hanz memberitahu saya sedang mengalami kontraksi yang semakin kerap. Alhamdulilllah, Hanz belum tidur dan meminta saya online di facebook supaya dia boleh memberi bantuan dan kata semangat

Kerana rasa kontraksi yang semakin kuat, saya tidak larat untuk menaip di laptop, hanya suami yang memberi update keadaan saya dari semasa ke semasa pada Hanz. Sampai suatu saat, saya menjadi ragu-ragu dan meminta suami menghantar saya ke hospital. Dari FB chat, Hanz berkata pada suami saya, "Aliyah is doing fine. Kalau ke hospital (awal), mungkin dia akan minta painkiller. Lambat lagi tu..." Kami berdua kembali bersemangat dan yakin menghadapinya.

Kejap-kejap saya minum air dan memastikan diri cukup hidrasi. Dan begitu juga saya kerap ke tandas membuang air kecil.

Posisi kegemaran saya adalah half squat dan kemudiannya squat sambil suami ampu dari belakang. Saya sebut "Allah... Allah..." tiap kali merasa sensasi. Vocalising juga membantu melegakan rasa.

Standing supported squat. (Sumber)


Sensasi semakin kuat dan rapat-rapat.  

Jam hampir pukul 5.00 pagi, Umar terjaga dan menangis meminta susu. Rasa sensasi pula sedang kuat. Konsentrasi saya terganggu dan tak sengaja bibir mengeluh di saat-saat getir begini. Suami segera ingatkan saya, "Sayang, jangan mengeluh. Sepanjang malam anak-anak tidur nyenyak. Mesti ada sebabnya Allah kejutkan Umar!" Sambil merangkak, saya memanjat katil dan berbaring perlahan-lahan di antara Umar dan Balqis.

Kemuncaknya sudah tiba.

Sedang menyusukan Umar, tiba-tiba rasa suatu kontraksi yang sangat kuat, dan "puufffff...!" berlaku letusan kecil di bawah sana. Air ketuban saya pecah dan terasa kepala baby sudah crowning. Segera saya ke posisi all-fours (merangkak).


All-fours birth position. (Sumber gambar)


Dalam situasi yang agak kelam kabut itu, suami minta saya turun dari katil dan bergerak ke ruang tamu. Jawapan saya, "Tak boleh, Abang. Kita (saya) tak boleh gerak lagi. Abang tolong bawak Balqis dan Umar ke ruang tamu cepat. Pasangkan CD kartun!"

Sepantas kilat suami bertindak, dan kembali ke belakang saya bersedia menyambut bayi yang bakal keluar. "Abang dah nampak rambut dia!"

Kontraksi hilang sebentar. Saya tarik nafas dalam-dalam untuk melenyapkan rasa gementar.

Dan...

Sensasi untuk meneran tiba lagi, saya sebut "Allah...." dengan suara keras dan kuat. Terasa panas di bawah sana (seperti yang dipanggil fasa Ring of Fire). Kepala bayi keluar ke paras hidungnya, disertai sedikit najis saya yang cair. Khuatir ia mengalir ke hidung anak, suami segera mengelap dengan babywipes

"Wah, hidung baby macam hidung Sayang... Bagus, teruskan lagi, keluarkan Baby."

"Tak boleh, Abang. Surge dah berhenti, kena tunggu surge seterusnya." 

Pertama kali saya rasa "berkuasa" terhadap proses kelahiran. Tiada arahan "Push...! Push!" atau suara sorakan pom pom girl didengari. Hanya rasakan nikmat ombak kontraksi, dan sedia untuk meneran apabila tiba masanya.

Ombak kuat yang terakhir, bayi kami selamat dilahirkan. Kuat betul dia menangis!
Suami memanggil nama Ali, dan kemudian memberikan bayi kepada saya untuk disusukan. Sangat harum bau bayi yang diselaputi verniks. Berkali-kali saya cium bayi saya yang berbau manisan itu. Dia sangat licin dan saya sangat berhati-hati memeluknya. Kekok pula, seperti baru pertama kali menjadi ibu. 
Dia terus diam dalam pelukan saya, sambil itu suami melaungkan azan di telinganya yang comel. Dia latching on dengan jayanya dan tak mahu lepas. 

Rasa syukur, gembira dan lega bercampur baur...


Minutes after deliver, day 1 and day 2 photos.
P/S: Click here to get the cute swaddle pod. ;)


Fasa ketiga kelahiran (mengeluarkan uri) sedikit mencabar. Rasa rengit untuk mengeluarkan placenta rupa-rupanya lebih kuat berbanding rasa surge melahirkan anak. Setelah sejam menunggu sambil menyusukan Ali, uri masih tidak mahu keluar dengan sendiri. Rasa panik dan letih semalaman tak tidur buatkan saya tak sabar-sabar untuk mengakhirinya. Tak mungkin kami ke hospital dengan keadaan tali pusat masih belum terpotong. Suami segera telefon ambulans untuk mendapatkan bantuan dan paramedik tiba setengah jam kemudian. 

Selesai pemotongan tali pusat dan pengeluaran uri, saya dan Baby Ali dibawa ke Hospital Selayang menaiki ambulans. Suami pula menghubungi keluarganya dan keluarga saya di kampung setelah saya dibawa pergi. Seperti dalam jangkaan kami, Ibu (mertua) saya tenang sahaja mendengar saya telah selamat bersalin di rumah, manakala Mak (saya) pula terkejut mendengar berita itu. Kebetulan kakak saya ada urusan kerja ke KL, maka Mak saya menumpang keretanya dari Johor dan tiba pada sebelah petang itu untuk meneman saya di wad. Cantik benar aturan ALLAH untuk memudahkan urusan kami.

Saya dan Baby Ali ditahan di wad semalaman untuk memastikan kedua-dua kami berkeadaan sihat. Tiada jahitan perineum diperlukan kerana tiada luka, dan begitu juga antibiotik tidak perlu diberikan kepada kami.


Suasana bilik wad FPP Hospital Selayang. Mak dari Johor meneman kami di wad,
suami pula meneman anak-anak lain di rumah.


Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian kembali kepadaNYA. Kami bersyukur kerana kali ini berpeluang melalui suatu pengalaman bersalin di rumah. Ianya sangat indah dan ada unikannya. Kesemua birth plan saya dapat dipenuhi. Bak kata Dr. Roslan ketika membuat lawatan pemeriksaan di wad sebelum kami dibenarkan pulang, "There you have it. You wished to have a natural birth, and you had one at home."

Ketiga-tiga kelahiran anak saya masing-masing mencoretkan pengalaman yang berbeza namun bermakna dalam catatan kehidupan saya. Bersalin di hospital kerajaan, kemudian di hospital swasta, dan kali ketiga ini bersalin di rumah. Semuanya ada ceritanya tersendiri, dan memberi saya peluang mencari sudut pandang yang berbeza tentang kelahiran.

Saya mendoakan anda yang membaca mendapat manfaat, dan termotivasi untuk mendapatkan suatu kelahiran yang indah dan tenang, dan yang terpenting sekali SELAMAT. Hingga jumpa lagi... Selamat melahirkan! :)






Sunday, 22 September 2013

Anak Ketigaku: Bersalin di Rumah - Bahagian 1

Assalamualaikum semua,

Lama saya berhibernasi. Blog pun dah bersawang. Saya mencari-cari lapang waktu untuk kembali menulis dan berkongsi rasa. Alhamdulillah pada usianya 3 bulan sekarang, saya menemukan sedikit ruang masa ini untuk berkongsi kisah kelahiran anak ketiga saya yang telah selamat dilahirkan di rumah.

Bersalin di rumah. Tak pernah saya fikirkannya sebelum ini. Apatah lagi pada zaman ini yang praktis normal bersalin adalah mesti di hospital.

Namun saya terbiasa mendengar kisah seumpama ini dari makcik di kampung sejak kecil lagi. Dan juga mertua sendiri melahirkan anaknya (suami saya) di rumah. Mendengar kisah bersalin di rumah oleh orang-orang lama rupa-rupanya telah memahatkan suatu gambaran (visualisation) dalam minda bawah sedar bahawa saya akan melakukannya juga suatu hari nanti.

Ketika mengandung anak ketiga ini, saya gemar membaca tips-tips bersalin dan tanpa sengaja saya terjumpa FB group The Gentle Birthing Group Malaysia. Ia mempromosikan kelahiran natural tanpa dadah dan intervensi yang tidak perlu (unnecessary intervention). Di situ, saya juga membaca beberapa kisah ibu-ibu yang telah berjaya bersalin di rumah sama ada drybirth mahupun waterbirth. Oh, sungguh saya tak sangka masih ada yang bersalin di rumah pada zaman serba canggih ini.

Persoalan saya (dan saya pasti anda juga):
- Tak menyalahi undang2kah bersalin di rumah?
- Tak bahayakah?
- Tak sakitkah bersalin tanpa painkiller?
- Macamana boleh bersalin sendiri? Bukankah bersalin mesti ikut arahan (doktor@bidan)?

Dan macam-macam lagi tanda tanya yang memandu saya untuk terus menggali lagi jawapan.


Booth jualan Kedai Mama And Kids di Majlis "Celebrating Birth and Motherhood on IWD",
sedutan dari segmen Wanita Hari Ini TV3.

Peluang pertama saya adalah ketika saya menyertai suatu majlis ceramah & forum berkenaan kelahiran natural iaitu Celebrating Birth and Motherhood on IWD anjuran The Gentle Birthing Group Malaysia pada Mac '13 di The Grand Seasons Hotel. Di situ saya dengar secara langsung berkenaan preview kelas persediaan bersalin Hynobirthing dan AMANI. Kelas-kelas ini menawarkan teknik mengawal sensasi kontraksi dan mengetahui fisiologi tubuh wanita bersalin dan proses bersalin secara menyeluruh. Sangat berbeza dengan kelas antenatal anjuran hospital yang lebih menekankan prosedur hospital semata-mata. Suami saya juga mendengar kisah beberapa bapa yang menyambut kelahiran anak sendiri dalam satu sesi daddy-sharing session. Dalam forum pula, antara isu yang dibangkitkan adalah betapa wanita masa kini telah dinafikan hak untuk "memiliki" kelahiran itu, hanya menyerah diri bulat-bulat diperlakukan ketika bersalin dan tidak tau haknya sebagai wanita yang sihat bukannya sakit (bersalin adalah proses semulajadi, bukannya sejenis penyakit).


Penerangan berkenaan posisi bersalin
oleh Karin Heinimann, certified doula.


Setelah itu kami suami isteri sepakat untuk mengikuti kelas persediaan bersalin AMANI untuk belajar lebih lanjut tentang natural birth. Sis Hanz Jamaluddin, pengajar kelas kelahiran kami menekankan di dalam kelas bahawa kelahiran natural boleh dialami di mana-mana sahaja samada hospital, rumah, air mahupun dalam kereta. Cukupkan diri dengan ilmu supaya bersedia bersalin di mana sahaja.

Kelas persediaan kelahiran ini mewajibkan kedua-dua suami isteri ke kelas, kerana kelahiran juga merupakan suatu tanggungjawab bersama bagi setiap pasangan, dan bukan hanya si isteri sahaja. Suami akan menjadi pemberi semangat, pembantu dan juga penegak hak ibu di saat melahirkan. Jadi ilmu ini harus dipelajari bersama.


AMANI Childbirth Preparation Class Batch 2 with CBE Hanz Jamaluddin.
Classmates: Kak Shada (BigEyes Shop) & husband, Sumayyah & Dr Salman.

Di kelas, kami belajar tentang pemakanan dan senaman, serta proses bersalin dan posisi pelbagai mengikut keselesaan ibu ketika melahirkan, dan juga penjagaan postnatal. Aspek utama yang menjadi asas adalah penyerahan diri kepada Yang Maha Pencipta, dan percaya bahawa Dia menciptakan tubuh wanita itu sempurna dan mampu melakukannya sendiri bila tiba masanya. MashaAllah. Sesuatu yang kebanyakan kita terlupa dan menjadikan yang lain (painkiller contohnya) sebagai pergantungan harap.


Gymball untuk senaman ketika mengandung
& juga ketika melayan sensasi kontraksi melahirkan.
Beli 2 biji sebab anak-anak pun nak join juga. ;)


Rancangan awal kami adalah melahirkan anak ketiga di hospital di bawah seliaan doktor yang menyokong kelahiran natural. Oleh itu, saya mencari doktor yang pro-natural untuk pemeriksaan sepanjang tempoh hamil dan menyambut kelahiran. Kami memilih Dr Roslan di Hospital Selayang dalam Skim Pesakit Bayar Penuh atau Full Paying Patient Scheme (FPP) yang kebetulan hanya 5 minit dari rumah kami. Dr Roslan sudahpun sedia maklum dengan permintaan kami untuk natural birth, dan memberi sokongan pada birth plan kami. Walaupun begitu, terdapat 1-2 permintaan dalam birth plan kami ditolak kerana prosedur hospital yang tidak boleh dielakkan. Menurut Dr Roslan juga, di Hospital Selayang terdapat ruang Mother-friendly Room untuk ibu-ibu yang memilih untuk bebas bergerak ketika menunggu fasa active-labor.


My visual birth plan. Konon nak pampangkan
di tepi katil wad atau labor room. 

Isi kandungan birth plan saya:


Name: (Me) & (Spouse)

Dear Health-Care Provider,

MY BIRTH PLAN WORKSHEET


Attendants and Amenities

1. I love my partner to be present during labor and birth : (Spouse Name)

2. I'd also like :
 -to bring the music
 -to dim the lights


Labor

1. I'd like the option of returning home if i'm not in active labor

2. Once admitted, I'd like :
 -My partner to be allowed to stay with me at all times
 -Only my practitioner, nurse, and guest present (NO residents, medical students or other hospital personnel)
 -To eat if I wish to
 -To stay hydrated by drinking clear fluids (NO routine IV drips)
 -To walk and move around as I choose

3. As long as the baby and I are doing fine, I'd like:

 -To be allowed to progress free of stringent time limits

4. When it is time to push, I'd like to do so instinctively.

5. I's like to try any positions (whatever feels right at the time) for pushing (and birth).


Vaginal Birth

1. I'd like:
 -to have NO episiotomy
 -to have NO ARM

2. After birth, I'd like:

 -To hold my baby right away (skin-to-skin) 
 -To breastfeed as soon as possible
 -To wait until the umbilical cord stops pulsating before it's clamped and cut


C-Section

1. If I have a c-section, I'd like:

 -To breastfeed my baby in the recovery room


Feeding

1. After delivery, I'd like:
 -All newborn procedures to take place in my presence
 -I want to breastfeed my baby exclusively and on demand
 -Do not offer anything to my baby (formula, sugar water and pacifier)
 -I'd like 24-hour rooming-in with my baby



In case of emergency, we'll leave to the expert decision to do whatever necessary to save lives. Otherwise, we will be fully responsible for our decisions and we plead for it to be respected.

Thank you.

Sincerely Yours,

..............................
(MY NAME & IC No.)

..............................
(SPOUSE NAME & IC No.)



Bersambung...

Monday, 21 May 2012

Aktiviti Riang dengan Play-Doh EZ2Do Crafts!

Assalamualaikum semua.

Hari ini saya nak kongsikan satu aktiviti mudah dan menarik, sesuai untuk anak yang berusia 3 tahun seperti Balqis, iaitu aktiviti kraf tanah liat @ Play-Doh.

** Dan sebenarnya saya pun tumpang sekaki bergumbira main Play-Doh. Bestnya gentel-gentel tanah liat warna warni..! Hehe.. ;p**

Kelebihan bermain tanah liat @ Play-Doh (melalui sumber-sumber dari internet), saya ringkaskan dalam perenggan berikut:

Aktiviti tanah liat ni merupakan salah satu aktiviti yang sangat bermanfaat untuk perkembangan kanak-kanak. Setiap kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu dan suka meneroka. Jika diberi segumpal tanah liat, si kecil akan memicit, menggentel atau mencucuk tanah liat untuk mengamati teksturnya yang lembut. Ini sekaligus dapat mempelajari bahawa setiap tekanan akan memberi impak yang berbeza. Membuat bentuk yang berbeza juga dapat menajamkan skil pemerhatian dan daya berfikir, selain menguatkan otot dan meningkatkan koordinasi tangan-mata.

Bunyinya hebat, bukan? Ya, saya pun teruja dan ingin lihat hasilnya pada anak saya. :D


Memandangkan ini aktiviti kraf-tanah-liatnya yang pertama, saya belikannya set EZ2Do Crafts - "Sand Art" Kit. Harga di sini.




Set ini terdiri daripada 8 kompaun Play-Doh berlainan warna; "bunga" dan "pasu" beserta penutup di belakangnya. Berikut adalah aksi hebat Balqis ya, Tuan-tuan dan Puan-puan... :D




Inilah rupa "bunga", "pasu" dan kompaun Play-doh berwarna-warni sejurus sahaja dibuka dari packaging.  Dalam iklan, warna penutup pasu dan bunga tu berbeza dari barang sebenar. Tapi tak apa - hal kecil saja. *Balqis dah melompat tak sabar nak main. Aku masih terkial-kial cari butang klik pada kamera...




Aktiviti memenyekkan Play-Doh pun bermula. Sudah tentu BUNGA dan kompaun MERAH JAMBU yang menjadi pilihan pertama si gadis kecil. Buka penutup di bahagian belakang dan sumbatkan tanah liat mengikut ruangan kelopak bunga. 




Bunga yang sudah siap dipenuhi Play-Doh ditutupkan dengan kemas dan ketat.



Lenyekkan pula Play-Doh ke dalam pasu. Seperti bunga juga, buka dahulu penutupnya ya... Pasu ini lebih mencabar sebab lebih besar saiznya (dan juga Adik Umar asyik datang 'membantu'! Oh, tidak..!)



"Penyekkan... Penyekkan... Penyek...!" bak kata Balqis. Dengan teknik penyekan, pasu "Sand Art" diisikan dengan Play-Doh sehingga penuh mengikut warna kegemaran Balqis.




Akhirnya kraf tanah liat Balqis siap jam 11 malam! Fuh...



Balqis kata nak hadiahkan Bunga "Sand Art" ni pada Ayah yang dah tidur dengan Umar pada ketika itu. Esoknya, bila Ayah nak pergi kerja, saya ingatkan Balqis tentang bunga itu.

Tapi jawapan Balqis, "Ayah lelaki. Dia tak suka bunga...." sambil dia sibuk membelek bunga itu sendirian. :)





Monday, 5 September 2011

Marah dalam Sayang

Menurut Saidina Ali R.A. ,

"Pada tujuh tahun yang pertama, bermain dengan anak kamu, didik anak kamu pada tujuh tahun berikutnya serta berkawan dengannya pada tujuh tahun selepas itu."


Aku sentiasa perlu mengingatkan diri sendiri untuk bersabar dalam mendidik anak-anak. Sentiasa tenang dan waras ketika menghadapi anak sulung yang tiba-tiba 'tantrum' sebab cemburu aku menyusukan adiknya bukanlah situasi yg mudah. Apatah lagi jika ditambah dgn orang keliling yg tak memahami dan dengan mudahnya melabel aku tak pandai uruskan anak-anak. Dan ada yg menggesa aku gunakan saja rotan dan segala macam kekerasan supaya anak terus diam dan menurut kata.

Namun aku ada cara aku sendiri. Aku gemar untuk menurut gaya yg seperti Rasulullah S.A.W. dan Saidina Ali R.A. anjurkan, iaitu berlemah-lembut tapi tegas dan berhemah. Tak perlu meracau-racau bila nak suruh anak dengar kata. Hanya panggil sekali dengan lembut, dan dengan rela hati anak akan datang dan membantu ibunya dengan ikhlas. Itu cita-citaku (setiap hari) sebagai seorang ibu.

Dan setiap kali aku naik darah bila anak kecilku culas tertumpahkan air, atau mengelat untuk gosok gigi, aku akan beristighfar sebentar dan ingat pesan Saidina Ali itu. Anak-anakku masih lagi dalam fasa bermain, jadi aku mesti jadi teman sepermainnya. Mendidik sambil bermain bersama. Daripada membazir tenaga terjerit-jerit marahkan anak, lebih baik menegur kesilapan anak dgn rasa tenang dan sayang, dan seterusnya boleh bermain lagi tanpa rasa tensi.


Sabda Rasulullah S.A.W.,

“Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukul mereka sekiranya tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur.”

(Riwayat Al-Hakim dan Abu Daud)


Umur anak 10 tahun barulah dirotan, itupun dalam hal yang terpenting iaitu solat, dan setelah disuruh bersolat sejak 7 tahun. Bukan sewenang-wenang memukul anak dalam semua hal. Anak adalah amanah dari Allah, anak juga adalah insan seperti kita. Dia juga ada maruah. Seperti mana kita tak suka dimaki hamun dan dibelasah, begitu juga anak kita.

Wahai Balqis dan Umar, Mak menyayangimu setulus hati. Terima kasih Balqis kerana kamu selalu mengingatkan aku jangan marah-marah ketika menegurmu yg terbuat silap. Maafkan Mak bila ternaik suara, dan aku harap kamu akan jadi seorang anak yg lemah lembut, sesuai dgn namamu Nur Liyana Balqis...


Thursday, 31 March 2011

Mengandung Lagi...!

Dah lama aku tak pos cerita di blog ni. Macam dah terabai pulak. Oleh krn masters pun dah selesai, banyak sikit masa utk berkongsi cerita di sini.

Ketika ini, aku sedang mengandung 6 bulan, anak kedua. Yang terbaru aku buat pemeriksaan kesihatan minggu lalu, dan buat kesekian kalinya Dr Kamariah beritahu padaku yg aku bakal dapat anak lelaki. Seawal pemeriksaan bulan keempat, anak dalam kandunganku tanpa segan-silu mempamerkan ke'lelaki'annya di skrin ultrasound. Kali ini, suamiku tak berkesempatan nak teman aku ke klinik. Dr Kay beri aku salinan gambar ultrasound kandungan. Yang menggelikan hati, Dr Kay fokuskan gambar di kawasan ke'lelaki'an itu sahaja. Katanya, tunjuk gambar ni pada suami. Nasib baik hanya ultrasound 2D, gambar pun tak berapa nak jelas kalau yg melihat tu tak faham. Kalau gambar 3D, tak fasal2 dikatakan gambar porno pulak!

Bila diingat kembali di awal trimester, macam2lah perkara yg 'menjengkelkan' aku, padahal kalau tak mengandung, semua itu biasa2 saja. Pertama sekali, bab bau-bauan. Tiba-tiba saja hidung aku jadi sensitif pada bau. Kedua-dua kali hamil, aku tak suka bau mulut suami. Pada aku, baunya bukannya busuk, tapi tajam. Bila tidur di sebelah, terpaksalah dia (atau aku) palingkan muka ke arah lain.

Kalau memasak/makan juga jadi masalah, sbb aku tak boleh bau bawang ditumis. Tak semena2 mual. Jadi terpaksalah suami berbelanja lebih membeli lauk dah siap sbb aku tak larat memasak sbb bau bawang.

Bau yang wangi2 pun aku tak selesa. Bau syampu rambut dan bau sabun badan buatkan aku terasa tersengat di hidung. Bau yg busuk2 lagilah. Bau tandas, bau asap lori, bau sampah, dan bau lampin Balqis pun boleh rosakkan mood. Semuanya serba busuk. Suami yg penyabar pun boleh naik darah juga bila tiap2 kali aku komplen serba tak kena.

Kalau cakap pasal mengidam, masa awal2 mengandung tu biasalah terasa nak masam2 sbb lidah dirundung dgn rasa pahit memanjang. Buah2an, terutama jambu batu, jambu air dan mangga memang jadi kunyahan sbb tak selesa dgn lidah pahit. Pakcik gerai buah pun sampai dah boleh cam muka kami sebab selalu sgt beli buah.

Beberapa bulan lepas mengidam nak makan laksa Johor walaupun hakikatnya aku bukan peminat laksa Johor pun. Bila tgk Jalan2 Cari Makan buat promo di Restoran Mimpi Muor di Damansara, buatkan aku terliur sgt2.



Restoran Mimpi Muor terletak di Mutiara Damansara. Asam pedas ikan jenahaknya 'suuuuuedap'(bermaksud sgt sedap slang Jawa). Sumber gambar



Setelah lama hajat tersimpan, akhirnya aku sampai jugak ke restoran itu bulan lepas sempena bawa mertua cari makan tengahari ketika mereka datang KL melawat kami. Punyalah ramai orang kat situ, hujung minggulah katakan. Laksa Johor yg kami oder tiba2 saja 'sold out'. Aku buat muka tebal merayu minta tolong supaya adakan juga semangkuk laksa utk org mengidam ni. Nasib baik sipi2 berpihak pd aku dan anak dalam rahim ni. Dapat jugak makan laksa walaupun banyak taugeh drp meenya. :P

Masa awal kehamilan, Balqis masih lagi menyusu badan. Di lain posting, aku akan kongsikan kisah bagaimana aku ceraikan susu di kala bergelumang dgn konflik awal trimester.



Sunday, 15 February 2009

Balqis oo Balqis...!

Mata terasa berat...Celik2 je, dah pukul 11! Huh..

Anak manja baru seorang, tapi nak melayannya macam 10 orang bayi! Baby Balqis baru 4 bulan setengah. Keletahnya memang comel, tapi adakala boleh menduga kesabaran aku sebagai seorang ibu muda.

Dah beberapa malam Balqis 'qiamul lail'... Aku dan suami layan aktiviti si kecik ni. Kejap dia bergolek2. Kejap dia mengomel dalam bahasa yang aku tak faham. Comel!

Tapi yang buatkan aku jadi tak sabar, sebab aku dan suami dah letih. Pukul 5 pagi dia masih tak mau tidur. Dia nak dikelek, didukung. Mata aku dah naik cekung sebab tidur macam ayam. Huhu..

Azan Subuh pun berkumandang...Tapi Balqis masih tak mau tidur. Suami dan aku bergilir solat Subuh, bergilir dukung, bergilir buai. Masih berjaga!

Ah, tak boleh jadi ni.. Dah semalaman kami tak tidur ni! Sebelum stress melanda kami, aku cadangkan supaya dimandikan saja Balqis ni. Mungkin dia tak selesa. Hah! Pukul 6.30 dia mandi, lebih dulu dari mak ayah dia.. ;P

Dan akhirnya, pukul 7 pg, Balqis tidur jua. Dia lena dibuai, si dia terlena membuai, aku terbuai mamai... ZzzZzz....