Wednesday, 9 October 2013

Anak Ketigaku: Bersalin di Rumah - Bahagian 3


Selasa, 18 Jun 2013

Lagi seminggu genap 40 minggu kehamilan. 

Lebih kurang jam 8 malam, ketika sedang menyiapkan makan malam, saya mula rasa sensasi yang ringan. Rasanya lebih kurang Braxton Hicks yang selalu dirasai, namun di hati saya ada terdetik mungkinkah ini masanya? Namun saya biarkan sahaja menikmati rasa itu seperti selalu. Sambil memasak, saya goyangkan punggung perlahan-lahan (swaying/rocking hips).

Rasa itu berulang-ulang. Saya biarkan rasa itu, sambil duduk di atas gym ball ataupun berdiri sambil swaying. Saya teruskan aktiviti makan malam, dan kemudian menidurkan anak-anak. Umar, seperti selalunya, menyusu untuk melelapkan mata, dan rasa kontraksi semakin ketara. 


Gaya duduk di atas birthing ball oleh Umar. 

Saya beritahu pada suami, sensasi kali ini sedikit luarbiasa, dan ada kemungkinan saya akan melahirkan. Suami langsung menukar kain pelikat kepada seluar dan mengeluarkan beberapa biji bantal ke ruang tamu untuk membantu saya supaya selesa.

Saya memuat turun aplikasi contraction timer di handphone suami untuk merekod durasi dan kekerapan kontraksi. Tapi, banyak kali saya tak sempat tekan butang Start, sebab tiap kali rasa kontraksi datang saya sibuk tarik nafas, berjalan atau swaying. Jadi, sememangnya sepanjang labor, saya tidak ambil tahu apakah tahap timing contractions yang saya alami. Saya hanya biarkan masa berlalu dan menikmatinya, sambil mendengar alunan Surah Maryam tanpa henti.


Kneeling position. Saya juga melakukan posisi ini dengan
beberapa bantal yang disusun tinggi.



Rabu, 19 Jun 2013

Tengah malam, rasa kontraksi semakin ketara. 

Air panas siap dijerang oleh suami, dan saya memintanya segelas air Raspberry Tea Leaf untuk diminum. Saya menghirup air teh itu sambil makan kurma. 

Hampir jam 1.00 pagi, saya menunaikan solat sunat dan witir untuk menenangkan hati yang sedikit berdebar. Allahu Akbar! Rasa kontraksi seolah-olah hilang sepanjang saya menunaikan solat. Betapa Allah Maha Mendengar dan bantu meringankan rasa sakit, supaya saya mampu bertenang dan fokus kembali. *Berposisi sujud juga adalah salah satu posisi yang bagus ketika dalam labor.

Suami menyuruh saya tidur dipangkuannya kerana khuatir saya keletihan. Saya hanya mampu melelapkan mata beberapa minit sahaja kerana rasa kontraksi yang kuat. Suami mengusap-usap belakang saya, dan mengurut dahi di bahagian kening saya apabila saya kelihatan stress dan berkerut ketika kontraksi.

Sekitar jam 2.30 pagi, saya menghantar SMS pada Hanz memberitahu saya sedang mengalami kontraksi yang semakin kerap. Alhamdulilllah, Hanz belum tidur dan meminta saya online di facebook supaya dia boleh memberi bantuan dan kata semangat

Kerana rasa kontraksi yang semakin kuat, saya tidak larat untuk menaip di laptop, hanya suami yang memberi update keadaan saya dari semasa ke semasa pada Hanz. Sampai suatu saat, saya menjadi ragu-ragu dan meminta suami menghantar saya ke hospital. Dari FB chat, Hanz berkata pada suami saya, "Aliyah is doing fine. Kalau ke hospital (awal), mungkin dia akan minta painkiller. Lambat lagi tu..." Kami berdua kembali bersemangat dan yakin menghadapinya.

Kejap-kejap saya minum air dan memastikan diri cukup hidrasi. Dan begitu juga saya kerap ke tandas membuang air kecil.

Posisi kegemaran saya adalah half squat dan kemudiannya squat sambil suami ampu dari belakang. Saya sebut "Allah... Allah..." tiap kali merasa sensasi. Vocalising juga membantu melegakan rasa.

Standing supported squat. (Sumber)


Sensasi semakin kuat dan rapat-rapat.  

Jam hampir pukul 5.00 pagi, Umar terjaga dan menangis meminta susu. Rasa sensasi pula sedang kuat. Konsentrasi saya terganggu dan tak sengaja bibir mengeluh di saat-saat getir begini. Suami segera ingatkan saya, "Sayang, jangan mengeluh. Sepanjang malam anak-anak tidur nyenyak. Mesti ada sebabnya Allah kejutkan Umar!" Sambil merangkak, saya memanjat katil dan berbaring perlahan-lahan di antara Umar dan Balqis.

Kemuncaknya sudah tiba.

Sedang menyusukan Umar, tiba-tiba rasa suatu kontraksi yang sangat kuat, dan "puufffff...!" berlaku letusan kecil di bawah sana. Air ketuban saya pecah dan terasa kepala baby sudah crowning. Segera saya ke posisi all-fours (merangkak).


All-fours birth position. (Sumber gambar)


Dalam situasi yang agak kelam kabut itu, suami minta saya turun dari katil dan bergerak ke ruang tamu. Jawapan saya, "Tak boleh, Abang. Kita (saya) tak boleh gerak lagi. Abang tolong bawak Balqis dan Umar ke ruang tamu cepat. Pasangkan CD kartun!"

Sepantas kilat suami bertindak, dan kembali ke belakang saya bersedia menyambut bayi yang bakal keluar. "Abang dah nampak rambut dia!"

Kontraksi hilang sebentar. Saya tarik nafas dalam-dalam untuk melenyapkan rasa gementar.

Dan...

Sensasi untuk meneran tiba lagi, saya sebut "Allah...." dengan suara keras dan kuat. Terasa panas di bawah sana (seperti yang dipanggil fasa Ring of Fire). Kepala bayi keluar ke paras hidungnya, disertai sedikit najis saya yang cair. Khuatir ia mengalir ke hidung anak, suami segera mengelap dengan babywipes

"Wah, hidung baby macam hidung Sayang... Bagus, teruskan lagi, keluarkan Baby."

"Tak boleh, Abang. Surge dah berhenti, kena tunggu surge seterusnya." 

Pertama kali saya rasa "berkuasa" terhadap proses kelahiran. Tiada arahan "Push...! Push!" atau suara sorakan pom pom girl didengari. Hanya rasakan nikmat ombak kontraksi, dan sedia untuk meneran apabila tiba masanya.

Ombak kuat yang terakhir, bayi kami selamat dilahirkan. Kuat betul dia menangis!
Suami memanggil nama Ali, dan kemudian memberikan bayi kepada saya untuk disusukan. Sangat harum bau bayi yang diselaputi verniks. Berkali-kali saya cium bayi saya yang berbau manisan itu. Dia sangat licin dan saya sangat berhati-hati memeluknya. Kekok pula, seperti baru pertama kali menjadi ibu. 
Dia terus diam dalam pelukan saya, sambil itu suami melaungkan azan di telinganya yang comel. Dia latching on dengan jayanya dan tak mahu lepas. 

Rasa syukur, gembira dan lega bercampur baur...


Minutes after deliver, day 1 and day 2 photos.
P/S: Click here to get the cute swaddle pod. ;)


Fasa ketiga kelahiran (mengeluarkan uri) sedikit mencabar. Rasa rengit untuk mengeluarkan placenta rupa-rupanya lebih kuat berbanding rasa surge melahirkan anak. Setelah sejam menunggu sambil menyusukan Ali, uri masih tidak mahu keluar dengan sendiri. Rasa panik dan letih semalaman tak tidur buatkan saya tak sabar-sabar untuk mengakhirinya. Tak mungkin kami ke hospital dengan keadaan tali pusat masih belum terpotong. Suami segera telefon ambulans untuk mendapatkan bantuan dan paramedik tiba setengah jam kemudian. 

Selesai pemotongan tali pusat dan pengeluaran uri, saya dan Baby Ali dibawa ke Hospital Selayang menaiki ambulans. Suami pula menghubungi keluarganya dan keluarga saya di kampung setelah saya dibawa pergi. Seperti dalam jangkaan kami, Ibu (mertua) saya tenang sahaja mendengar saya telah selamat bersalin di rumah, manakala Mak (saya) pula terkejut mendengar berita itu. Kebetulan kakak saya ada urusan kerja ke KL, maka Mak saya menumpang keretanya dari Johor dan tiba pada sebelah petang itu untuk meneman saya di wad. Cantik benar aturan ALLAH untuk memudahkan urusan kami.

Saya dan Baby Ali ditahan di wad semalaman untuk memastikan kedua-dua kami berkeadaan sihat. Tiada jahitan perineum diperlukan kerana tiada luka, dan begitu juga antibiotik tidak perlu diberikan kepada kami.


Suasana bilik wad FPP Hospital Selayang. Mak dari Johor meneman kami di wad,
suami pula meneman anak-anak lain di rumah.


Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian kembali kepadaNYA. Kami bersyukur kerana kali ini berpeluang melalui suatu pengalaman bersalin di rumah. Ianya sangat indah dan ada unikannya. Kesemua birth plan saya dapat dipenuhi. Bak kata Dr. Roslan ketika membuat lawatan pemeriksaan di wad sebelum kami dibenarkan pulang, "There you have it. You wished to have a natural birth, and you had one at home."

Ketiga-tiga kelahiran anak saya masing-masing mencoretkan pengalaman yang berbeza namun bermakna dalam catatan kehidupan saya. Bersalin di hospital kerajaan, kemudian di hospital swasta, dan kali ketiga ini bersalin di rumah. Semuanya ada ceritanya tersendiri, dan memberi saya peluang mencari sudut pandang yang berbeza tentang kelahiran.

Saya mendoakan anda yang membaca mendapat manfaat, dan termotivasi untuk mendapatkan suatu kelahiran yang indah dan tenang, dan yang terpenting sekali SELAMAT. Hingga jumpa lagi... Selamat melahirkan! :)