Thursday, 4 September 2014

[Ulasan Produk] TANAMERA Facial Care

Mood seorang wanita memang boleh menjadi gumbira bila berspa. Tapi lebih guuummbira kalau ada tukang spa/urutnya, kan?

Lama sudah saya tak ke spa untuk dibelai. Al-maklumlah mak-mak seperti saya yang ada anak-anak kecil tapi tiada pembantu, memang susah sangat nak ada masa sendiri. "Me time" kata omputih. Nak mandi pun kadang-kadang tu tergesa-gesa, jauh sekalilah nak pergi spa. 

Tapi, kat muka ni pula dah semakin banyak timbul "aksesori tambahan" bintik hitam, bintik putih dan bintik-bintik yang seangkatan dengannya. Jadi, kenalah beraktiviti spa juga, tapi spa di rumah aje..  

Dan bermacam produk di pasaraya saya cuba sejak zaman remaja, tapi tiada yang serasi dengan wajah. Efek selepas guna biasanya kulit jadi kering atau menggelupas. Huhu. 

Kali ni saya nak cuba produk yang natural pula. Nak lihat bagaimana hasilnya.. Saya pilih TANAMERA!

Setelah mentelaah serba sikit di website Tanamera dan beberapa review dari blog-blog lain, sekonyong-konyong saya order 3 produk penjagaan muka berikut:


1) TANAMERA Black Formulation Facial Soap

Sebab musababnya:

• adik ipar sedang gunakannya juga dan dia berpuas hati sebab kulit kekal lembab seharian setelah gunakan sabun ni. 

• sesuai untuk semua jenis kulit. 
"..is suitable for all skin type especially for those with problem associated with oily skin.
Yang ni memang saya suka sebab muka saya ni ada banyak musim. Ada musim, muka saya kering. Ada musimnya berminyak pula. Ada musim lain, kombinasi kering, berminyak dan kusam. 

• Jimat bajet - Sabun ni boleh jadi pencuci harian, skrub mingguan dan juga masker. I like!


2) TANAMERA Hibiscus Facial Mask (Ada 4 paket per set)

Sebab musababnya:

• untuk wajah yang kusam dan letih (for dull and tired skin). Musim muka kusam sekarang ni. Huhu.

• "... Remove pore-clogging dirt." Itulah yang amat kuharapkan selama ini. Dikurniakan wajah yang mempunyai liang roma muka terbuka, memang dari dulu saya selalu dihadiahi blackheads. Huhu.


3) TANAMERA Jasmine Floral Water

Sebab-musababnya:

• Nak bancuh masker seperti di atas

• Wangian bunga melur asli sebagai penyegar harian selepas mandi. Perasan wanita melayu terakhir gitu! ;)



Jasmine Floral Water,  Balck Formulation Soap, dan Hibiscus Facial Mask (bekas hitam).


Di suatu petang yang tak berapa damai, saya pun memulakan operasi pemulihan wajah setelah barangan dipesan selamat tiba di tangan. 


Mula-mula, saya cuci muka dan seterusnya "sental" sebuku sabun hitam di muka sebagai skrub.


Tekstur sabun hitam yang bergranul


Setelah terasa puas menyental (dengan lembut) terutama di kawasan hidung yang banyak bintik hitam dan kawasan bawah bibir yang kering/bersisik, maka saya bilas dengan air suam dari shower.


Kemudian, saya sediakan bancuhan masker bunga raya. Saya tuangkan lebih dari separuh paket masker ke dalam mangkuk.





Dan kemudian, saya tuangkan sedikit air bunga melur ke atas serbuk masker. (Hajat asal nak sembur/spray sahaja. Tapi bila botol disengetkan, air melur tak boleh keluar.) Untuk yang tiada air bunga (floral water), boleh juga gunakan air paip biasa untuk membuat bancuhan masker seperti di sini.





Saya campurkan hingga bancuhan sesedap jari menguli, tidak terlalu pekat dan mudah disapu ke wajah.




Dan, sapu masker di muka. Warnanya keunguan. Masker ini rasa sejuk bercampur "gatal". (Saya tak jumpa perkataan yang sesuai untuk gambarkannya. Bukan gatal yang rasa nak garu/tak tahan, tapi gatal-gatal manja yang sekejap sahaja dan tidak menyengat.) 


Biarkan sehingga betul-betul kering, sekitar 15 minit? (Tak pasti berapa lama sebab tak tengok jam, dan tertidur-tidur sementara menunggu masker kering).






Setelah kering, saya bilaskan muka dengan shower air suam. Akhir sekali, saya semburkan wajah yang telah dirawat (chewah!) dengan TANAMERA Jasmine Floral Water.

Hasilnya... Wah! Muka terasa segar, lembab dan tak kasar seperti sebelumnya tadi. Memang berpuas hati sebab rasa berbeza dari produk-produk lain yang pernah saya gunakan sebelum ni.

Lain kali, saya nak cuba pula gunakan TANAMERA Sengkuang Facial Scrub pula sebelum gunakan Hibiscus Facial Masuk. Sebab kat belakang packaging masker tu, tertulis "For best result, apply immediately after using Tanamera Sengkuang facial scrub." Akan kucoba di masa akan datang. :)








Tuesday, 10 June 2014

Softique CloZet - Butik di Rumah yang Wow!

Minggu lepas diri ini menyemakkan diri meninjau-ninjau projek terbaru Acu di Bangsar. Beliau telah mentransfromasikan rumahnya menjadi sebuah "almari baju".

Almari bukan sebarang almari. Almari ini adalah medan bershopping santai para wanita sekitar Bangsar. Dah alang-alang makan tengah hari di Restoran Mahbub, maka silalah berjalan kaki ke Lucky Garden dan serbulah Softique CloZet Houseboutique.


Ketika sessi busy body tempoh hari, kelihatan para vendor sedang menyusun atur barangan jualan masing-masing. Tudung shawl, kasut, baju, dan kuih raya pun ada!



Antara ruang yang telah dipenuhkan oleh vendor-vendor.

Ruang-ruang yang telah dibooking oleh vendor-vendor Softique CloZet.


KedaiMamaAndKids.com pun tak nak ketinggalan menyibuk juga. ;)

Dah pun mula beroperasi pada 7 Jun 2014 yang lalu secara rasminya. Maka, kawan-kawan sekalian yang berada di Bangsar bolehlah membeli-belah di Softique CloZet Houseboutique. Dibuka dari jam 10 pagi hingga jam 10 malam, beralamat di No.4, Jalan Cenderai 2, Lucky Garden Bangsar. Jaraknya berjalan kaki tak sempat berpeluh dari Bangsar Village. Okay, kalau berpeluh pun tak apa, sebab butik ni berair-cond. :D


Maklumat lanjut boleh hubungi 013 678 4420 (Sofiah).


Saturday, 10 May 2014

Hari Ini Hari Emak

10/5/2014

Seawal pagi saya bangkitkan anak-anak untuk ke rumah Neksu mereka di Bangsar. Kedua-dua orang tua saya sudah dua malam di sana. Waktu cuti Johor dan Selangor berbeza, jadi kami hanya berkongsi hari cuti yang sama pada hari ini (Sabtu) sahaja. Kereta meluncur laju cuba berlumba waktu.

Tiba di Bangsar, Mak dan Abah sudah menanti di pagar untuk keluar membeli sarapan di gerai berhampiran. Pada awalnya berhajat untuk bungkus sahaja, tapi rezeki kami ada meja kosong, maka terus sahaja nasi lemak dan air teh tarik dipesan.

Mak sudah habis makan awal, jadi dia ambil giliran menjaga Ali sementara saya menikmati juadah sarapan saya pula. Mak bawa Ali pusing-pusing sekitar gerai makan.

Ternampak Mak berhenti berbual di meja sekumpulan warga emas berkopiah, boleh diagak mereka adalah geng masjid. Dan Mak kemudiannya melambai-lambai memanggil saya datang ke meja tersebut. Apakah halnya ya?

"Aliyah, inilah dia Dr. Salleh!" 

MashaAllah, akhirnya saya bertemu empat mata dengan doktor yang menyambut kelahiran saya hampir 30 tahun dulu di Hospital Bersalin Kuala Lumpur. Di hospital kerajaan (zaman dulu-dulu, tak pasti bagaimana pula sekarang) sangat jarang seorang doktor pakar menyambut kelahiran normal yang tiada komplikasi. Lazimnya bidan sahaja yang menyambut kelahiran kes berisiko rendah.

Oleh kerana bertuahnya kelahiran saya, Mak mengabadikan nama doktor pakar yang menyambut kelahiran saya itu sebagai tambahan nama saya di sijil kelahiran, iaitu Nuraliyah Sallehah. Bahkan sewaktu kecil, kakak saya pernah cemburu dengan kisah kelahiran saya, dan kemudian berseloroh "Nasib baik Dr. Salleh yang sambut tau. Kalau doktor tu nama Arumugam, macamana pulak?"

Dengan teruja, Mak memperkenalkan saya dengan nama penuh saya kepada Dr. Salleh pada pagi yang ceria itu. Dr. Salleh kini bertugas di Pusrawi sebagai pengarah. 

Pertemuan ringkas yang tak dirancang itu membuahkan senyuman di wajah masing-masing. Seperti mana saya selalu rasa teruja bercampur tersentuh hati setiap kali membaca atau menonton video kelahiran bayi, begitu juga kali ini. Walaupun tiada perincian jalan cerita kelahiran saya yang Mak pernah ceritakan kepada saya melainkan rasa sakit jahitan yang lambat baik, namun melihat kegembiraan yang terzahir di wajah Mak, saya dapat merasakan ianya salah satu pengalaman yang manis pernah berlaku dalam hidupnya.

Dan, apabila pulang ke rumah Acu (anak-anakku memanggil Neksu) setelah usai bersarapan, saya pula mendapat kejutan dari Balqis. Dia hulurkan sekeping kad ucapan •Happy Mother's Day, Mom•

Sejujurnya saya tak ingat pun hari itu ada sambutan hari apa. Namun yang nyatanya, saya gembira meluangkan seharian hari itu bersama Mak saya, Acu dan anak-anak serta ahli keluarga yang lain.

Doa saya Mak selalu dalam rahmat Allah, bukan sahaja pada hari yang khusus sahaja, tapi pada setiap hari yang telah berlalu dan hari-hari yang mendatang...

"Ya Allah ampunilah daku, dan kedua ibu bapaku. Dan kasihanilah mereka seperti mana mereka pernah memeliharaku sejak kecil lagi..."






Friday, 9 May 2014

Masuk TV?

Kisah ini sudah hampir basi. Tapi saya mahu coretkan juga untuk kenang-kenangan sebelum terlupa.

Suatu hari di bulan April, saya dihubungi oleh seorang pembantu penerbit rancangan Wanita Hari Ini TV3. Melalui panggilan telefon yang singkat itu, beliau menyatakan ingin menemubual saya dan suami berkenaan kisah homebirth kami. Setelah berbincang dengan suami, saya kembali menghubungi beliau untuk aturkan temujanji.

Kami berasa sedikit gementar, al-maklumlah bukan artis (kihkih), dan semestinya bukan seorang yang layak berbicara soal perbidanan pun. Ini menyebabkan kami merahsiakan sessi penggambaran tersebut dari pengetahuan keluarga dan teman sehinggalah selesai semuanya nanti. 

Tiba di hari yang dijanjikan iaitu Jumaat 25/4/14. Tempat temujanji adalah di taman permainan Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. Kami terlewat tiba sebab tersalah taman permainan. Mereka di seberang tasik! Berpeluh ketiak berpusing-pusing di taman, akhirnya suami memandu kereta ke seberang tasik untuk ke tempat yang betul.

Balqis dan Umar kami tinggalkan bermainan di taman permainan bersama Cici (adik ipar). Kami bawa Ali untuk sessi rakaman yang dilakukan di pondok berhampiran taman permainan tersebut.

Kamera telah siap dipasang. Simple dan bersahaja tim WHI yang datang iaitu pembantu penerbit dan seorang jurukamera. Sessi temubual sangat santai, tapi saya gugup sekali sebab tak biasa di hadapan kamera. 

Saya diminta bercerita kisah homebirth, dan ada beberapa "keyword" soalan iaitu:
-cemas?
-komplikasi selepas lahir?
Kami jawab berdasarkan pengalaman yang telah kami alami. Aksi anak-anak saya di taman permainan juga dirakam, termasuklah aksi Umar tantrum kerana keletihan seharian berjalan. 

Usai penggambaran, kami segera pulang ke kampung. Sepanjang perjalanan, dalam hati saya sangat berharap kepada Allah, bahawa sessi tersebut hasilnya baik-baik sahaja dan memberi manfaat kepada penonton.

Hari bersiaran. Selasa 29/4/14. Berdebar di hadapan laptop menonton siaran langsung dari Tonton.my. Apakah outputnya?


Wanita Hari Ini 2014 - Episod 84 - Risiko Bersalin Sendiri

Teman-teman boleh menontonnya di link berikut. 


Dr. Norhazinat Yunus, pakar O&G yang menjadi jemputan untuk slot "Risiko Bersalin Sendiri" ini sangat supportive! Untuk ibu-ibu yang mencari doktor yang menyokong bersalin secara alami, boleh hubungi doktor tersebut di Tropicana Medical Centre.