Wednesday, 9 October 2013

Anak Ketigaku: Bersalin di Rumah - Bahagian 3


Selasa, 18 Jun 2013

Lagi seminggu genap 40 minggu kehamilan. 

Lebih kurang jam 8 malam, ketika sedang menyiapkan makan malam, saya mula rasa sensasi yang ringan. Rasanya lebih kurang Braxton Hicks yang selalu dirasai, namun di hati saya ada terdetik mungkinkah ini masanya? Namun saya biarkan sahaja menikmati rasa itu seperti selalu. Sambil memasak, saya goyangkan punggung perlahan-lahan (swaying/rocking hips).

Rasa itu berulang-ulang. Saya biarkan rasa itu, sambil duduk di atas gym ball ataupun berdiri sambil swaying. Saya teruskan aktiviti makan malam, dan kemudian menidurkan anak-anak. Umar, seperti selalunya, menyusu untuk melelapkan mata, dan rasa kontraksi semakin ketara. 


Gaya duduk di atas birthing ball oleh Umar. 

Saya beritahu pada suami, sensasi kali ini sedikit luarbiasa, dan ada kemungkinan saya akan melahirkan. Suami langsung menukar kain pelikat kepada seluar dan mengeluarkan beberapa biji bantal ke ruang tamu untuk membantu saya supaya selesa.

Saya memuat turun aplikasi contraction timer di handphone suami untuk merekod durasi dan kekerapan kontraksi. Tapi, banyak kali saya tak sempat tekan butang Start, sebab tiap kali rasa kontraksi datang saya sibuk tarik nafas, berjalan atau swaying. Jadi, sememangnya sepanjang labor, saya tidak ambil tahu apakah tahap timing contractions yang saya alami. Saya hanya biarkan masa berlalu dan menikmatinya, sambil mendengar alunan Surah Maryam tanpa henti.


Kneeling position. Saya juga melakukan posisi ini dengan
beberapa bantal yang disusun tinggi.



Rabu, 19 Jun 2013

Tengah malam, rasa kontraksi semakin ketara. 

Air panas siap dijerang oleh suami, dan saya memintanya segelas air Raspberry Tea Leaf untuk diminum. Saya menghirup air teh itu sambil makan kurma. 

Hampir jam 1.00 pagi, saya menunaikan solat sunat dan witir untuk menenangkan hati yang sedikit berdebar. Allahu Akbar! Rasa kontraksi seolah-olah hilang sepanjang saya menunaikan solat. Betapa Allah Maha Mendengar dan bantu meringankan rasa sakit, supaya saya mampu bertenang dan fokus kembali. *Berposisi sujud juga adalah salah satu posisi yang bagus ketika dalam labor.

Suami menyuruh saya tidur dipangkuannya kerana khuatir saya keletihan. Saya hanya mampu melelapkan mata beberapa minit sahaja kerana rasa kontraksi yang kuat. Suami mengusap-usap belakang saya, dan mengurut dahi di bahagian kening saya apabila saya kelihatan stress dan berkerut ketika kontraksi.

Sekitar jam 2.30 pagi, saya menghantar SMS pada Hanz memberitahu saya sedang mengalami kontraksi yang semakin kerap. Alhamdulilllah, Hanz belum tidur dan meminta saya online di facebook supaya dia boleh memberi bantuan dan kata semangat

Kerana rasa kontraksi yang semakin kuat, saya tidak larat untuk menaip di laptop, hanya suami yang memberi update keadaan saya dari semasa ke semasa pada Hanz. Sampai suatu saat, saya menjadi ragu-ragu dan meminta suami menghantar saya ke hospital. Dari FB chat, Hanz berkata pada suami saya, "Aliyah is doing fine. Kalau ke hospital (awal), mungkin dia akan minta painkiller. Lambat lagi tu..." Kami berdua kembali bersemangat dan yakin menghadapinya.

Kejap-kejap saya minum air dan memastikan diri cukup hidrasi. Dan begitu juga saya kerap ke tandas membuang air kecil.

Posisi kegemaran saya adalah half squat dan kemudiannya squat sambil suami ampu dari belakang. Saya sebut "Allah... Allah..." tiap kali merasa sensasi. Vocalising juga membantu melegakan rasa.

Standing supported squat. (Sumber)


Sensasi semakin kuat dan rapat-rapat.  

Jam hampir pukul 5.00 pagi, Umar terjaga dan menangis meminta susu. Rasa sensasi pula sedang kuat. Konsentrasi saya terganggu dan tak sengaja bibir mengeluh di saat-saat getir begini. Suami segera ingatkan saya, "Sayang, jangan mengeluh. Sepanjang malam anak-anak tidur nyenyak. Mesti ada sebabnya Allah kejutkan Umar!" Sambil merangkak, saya memanjat katil dan berbaring perlahan-lahan di antara Umar dan Balqis.

Kemuncaknya sudah tiba.

Sedang menyusukan Umar, tiba-tiba rasa suatu kontraksi yang sangat kuat, dan "puufffff...!" berlaku letusan kecil di bawah sana. Air ketuban saya pecah dan terasa kepala baby sudah crowning. Segera saya ke posisi all-fours (merangkak).


All-fours birth position. (Sumber gambar)


Dalam situasi yang agak kelam kabut itu, suami minta saya turun dari katil dan bergerak ke ruang tamu. Jawapan saya, "Tak boleh, Abang. Kita (saya) tak boleh gerak lagi. Abang tolong bawak Balqis dan Umar ke ruang tamu cepat. Pasangkan CD kartun!"

Sepantas kilat suami bertindak, dan kembali ke belakang saya bersedia menyambut bayi yang bakal keluar. "Abang dah nampak rambut dia!"

Kontraksi hilang sebentar. Saya tarik nafas dalam-dalam untuk melenyapkan rasa gementar.

Dan...

Sensasi untuk meneran tiba lagi, saya sebut "Allah...." dengan suara keras dan kuat. Terasa panas di bawah sana (seperti yang dipanggil fasa Ring of Fire). Kepala bayi keluar ke paras hidungnya, disertai sedikit najis saya yang cair. Khuatir ia mengalir ke hidung anak, suami segera mengelap dengan babywipes

"Wah, hidung baby macam hidung Sayang... Bagus, teruskan lagi, keluarkan Baby."

"Tak boleh, Abang. Surge dah berhenti, kena tunggu surge seterusnya." 

Pertama kali saya rasa "berkuasa" terhadap proses kelahiran. Tiada arahan "Push...! Push!" atau suara sorakan pom pom girl didengari. Hanya rasakan nikmat ombak kontraksi, dan sedia untuk meneran apabila tiba masanya.

Ombak kuat yang terakhir, bayi kami selamat dilahirkan. Kuat betul dia menangis!
Suami memanggil nama Ali, dan kemudian memberikan bayi kepada saya untuk disusukan. Sangat harum bau bayi yang diselaputi verniks. Berkali-kali saya cium bayi saya yang berbau manisan itu. Dia sangat licin dan saya sangat berhati-hati memeluknya. Kekok pula, seperti baru pertama kali menjadi ibu. 
Dia terus diam dalam pelukan saya, sambil itu suami melaungkan azan di telinganya yang comel. Dia latching on dengan jayanya dan tak mahu lepas. 

Rasa syukur, gembira dan lega bercampur baur...


Minutes after deliver, day 1 and day 2 photos.
P/S: Click here to get the cute swaddle pod. ;)


Fasa ketiga kelahiran (mengeluarkan uri) sedikit mencabar. Rasa rengit untuk mengeluarkan placenta rupa-rupanya lebih kuat berbanding rasa surge melahirkan anak. Setelah sejam menunggu sambil menyusukan Ali, uri masih tidak mahu keluar dengan sendiri. Rasa panik dan letih semalaman tak tidur buatkan saya tak sabar-sabar untuk mengakhirinya. Tak mungkin kami ke hospital dengan keadaan tali pusat masih belum terpotong. Suami segera telefon ambulans untuk mendapatkan bantuan dan paramedik tiba setengah jam kemudian. 

Selesai pemotongan tali pusat dan pengeluaran uri, saya dan Baby Ali dibawa ke Hospital Selayang menaiki ambulans. Suami pula menghubungi keluarganya dan keluarga saya di kampung setelah saya dibawa pergi. Seperti dalam jangkaan kami, Ibu (mertua) saya tenang sahaja mendengar saya telah selamat bersalin di rumah, manakala Mak (saya) pula terkejut mendengar berita itu. Kebetulan kakak saya ada urusan kerja ke KL, maka Mak saya menumpang keretanya dari Johor dan tiba pada sebelah petang itu untuk meneman saya di wad. Cantik benar aturan ALLAH untuk memudahkan urusan kami.

Saya dan Baby Ali ditahan di wad semalaman untuk memastikan kedua-dua kami berkeadaan sihat. Tiada jahitan perineum diperlukan kerana tiada luka, dan begitu juga antibiotik tidak perlu diberikan kepada kami.


Suasana bilik wad FPP Hospital Selayang. Mak dari Johor meneman kami di wad,
suami pula meneman anak-anak lain di rumah.


Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian kembali kepadaNYA. Kami bersyukur kerana kali ini berpeluang melalui suatu pengalaman bersalin di rumah. Ianya sangat indah dan ada unikannya. Kesemua birth plan saya dapat dipenuhi. Bak kata Dr. Roslan ketika membuat lawatan pemeriksaan di wad sebelum kami dibenarkan pulang, "There you have it. You wished to have a natural birth, and you had one at home."

Ketiga-tiga kelahiran anak saya masing-masing mencoretkan pengalaman yang berbeza namun bermakna dalam catatan kehidupan saya. Bersalin di hospital kerajaan, kemudian di hospital swasta, dan kali ketiga ini bersalin di rumah. Semuanya ada ceritanya tersendiri, dan memberi saya peluang mencari sudut pandang yang berbeza tentang kelahiran.

Saya mendoakan anda yang membaca mendapat manfaat, dan termotivasi untuk mendapatkan suatu kelahiran yang indah dan tenang, dan yang terpenting sekali SELAMAT. Hingga jumpa lagi... Selamat melahirkan! :)






Tuesday, 24 September 2013

Anak Ketigaku: Bersalin di Rumah - Bahagian 2

Pada bulan-bulan terakhir kehamilan, saya seringkali mengalami kontraksi pra-kehamilan. Mungkin kerana saya kurang minum air dan menyebabkan Braxton Hicks. Ditambah pula Umar, anak kedua masih lagi menyusu sepanjang saya mengandung (demi misi saya untuk mencukupkan 2 tahun tempoh penyusuan).

Beberapa persediaan yang saya buat sewaktu kehamilan:

1) Gymball

Kerap mengalami (dan menikmati) rasa sensasi kontraksi, ia semacam latihan bagi saya untuk menghadapi kelahiran sebenar. Bagus juga kerap mengalaminya, kerana tiap kali rasa sensasi itu, saya akan tarik nafas dalam-dalam (deep breathing). Ketika melangsaikan tugas harian melipat baju, atau menonton tv, saya duduk di atas gymball sambil menggoyangkan badan (rocking or bouncing).



The best way to use your birthing ball in the beginning is to simply sit on it and begin spiraling your hips in a circular motion. (MyNaturalBirth.org)

2) Minyak Kelapa Dara (Virgin Coconut Oil/VCO) 

Saya mengamalkan minum dua sudu minyak kelapa dara setiap hari (satu sudu pada waktu pagi dan satu sudu pada waktu petang). Pilihan saya sewaktu hamil ini adalah VCO Tanamera, yang saya beli dari booth bersebelahan ketika majlis IWD yang lalu. Amalan menelan VCO ini dikatakan dapat memudahkan urusan bersalin, namun yang terpenting bagi saya adalah khasiat utamanya untuk kesihatan tubuh (meningkatkan imun). Dinasihatkan juga untuk buat urutan perineum di akhir-akhir minggu kandungan, tapi saya tak melakukannya sebab masalah candida.


Minyak kelapa daraku yang pertama dalam hidup. :D
Jatuh cinta pertama kali dengan Tanamera, dan kemudian tak kisah jenama apa, janji VCO!
Mahukan VCO juga? Klik di sini!


3) Afirmasi Kelahiran

Di papan putih dalam kamar tidur pula, saya tuliskan birth affirmation bertujuan untuk menyuntik kata-kata positif dan semangat dalam jiwa. Kadang-kadang terlalu banyak membaca cerita ngeri tentang komplikasi atau cerita "ngeri" boleh mengganggu emosi saya dan menjadikan saya takut kepada proses kelahiran fitrah. Di kelas kelahiran, saya diajar cara membentuk emosi dan persekitaran yang positif untuk memberi semangat dan dorongan diri kepada ibu hamil.

 Balqis rajin membacakannya bersama-sama setiap hari. Balqis juga nampaknya tak sabar-sabar menanti adik kecil lahir.

ALLAH is with me
I will have a wonderful birth
My Baby Ali will be born into my arms
My womb knows how to birth
I can't wait to see my baby
I love birth, I love my baby
I love myself, I can do it!

Birth affirmation yang saya baca tiap hari menanti detik kelahiran, selain doa harian memudahkan urusan bersalin.

Beberapa peringatan saya catatkan juga di papan putih supaya saya tak terlupa melakukannya ketika menghadapi detiknya nanti:

  • Jangan berkerut* 
  • Jangan menggenggam tangan* (sebab kedua-dua * itu boleh menyebabkan otot rahim juga "berkerut" atau tidak rileks, maka kontraksi lebih sakit. Ciuman, pelukan, dan urutan dari suami boleh membantu bebaskan stress itu.)
  • Teruskan berzikir, berdoa, dan fikirkan positif.



Untuk persediaan mental juga, selain membaca tips online, saya juga menonton video (kebanyakannya dari barat) bagaimana ibu-ibu melahirkan anak secara natural.

Video ini menjadi kegemaran saya, kerana suaminya sangat tenang dan supportive sebagai doula-dad. Mampu menitiskan air mata terharu. Saya juga idamkan suasana "intim" begini dan memaksa mengajak suami saya untuk tonton video ini.


  



Suatu pagi, suami saya bangun dengan wajahnya kelihatan cemas. Dia kemudian berbisik pada saya, "Malam tadi Abang mimpi Sayang dah bersalin... Kat atas katil kita!"


Saya sedikit berdebar menantikan saat melahirkan. Anak-anak saya sebelum ini lahir pada minggu ke-38. Tapi anak ketiga ini masih belum lagi mahu keluar setelah minggu 39 menjengah. Dalam hati saya terus berdoa supaya dipermudahkan, dan dalam bayangan (visualization) saya, saya akan melahirkan anak pada waktu malam ketika anak-anak lain sedang nyenyak tidur.


Bersambung dengan kisah kelahiran di sini...

Sunday, 22 September 2013

Anak Ketigaku: Bersalin di Rumah - Bahagian 1

Assalamualaikum semua,

Lama saya berhibernasi. Blog pun dah bersawang. Saya mencari-cari lapang waktu untuk kembali menulis dan berkongsi rasa. Alhamdulillah pada usianya 3 bulan sekarang, saya menemukan sedikit ruang masa ini untuk berkongsi kisah kelahiran anak ketiga saya yang telah selamat dilahirkan di rumah.

Bersalin di rumah. Tak pernah saya fikirkannya sebelum ini. Apatah lagi pada zaman ini yang praktis normal bersalin adalah mesti di hospital.

Namun saya terbiasa mendengar kisah seumpama ini dari makcik di kampung sejak kecil lagi. Dan juga mertua sendiri melahirkan anaknya (suami saya) di rumah. Mendengar kisah bersalin di rumah oleh orang-orang lama rupa-rupanya telah memahatkan suatu gambaran (visualisation) dalam minda bawah sedar bahawa saya akan melakukannya juga suatu hari nanti.

Ketika mengandung anak ketiga ini, saya gemar membaca tips-tips bersalin dan tanpa sengaja saya terjumpa FB group The Gentle Birthing Group Malaysia. Ia mempromosikan kelahiran natural tanpa dadah dan intervensi yang tidak perlu (unnecessary intervention). Di situ, saya juga membaca beberapa kisah ibu-ibu yang telah berjaya bersalin di rumah sama ada drybirth mahupun waterbirth. Oh, sungguh saya tak sangka masih ada yang bersalin di rumah pada zaman serba canggih ini.

Persoalan saya (dan saya pasti anda juga):
- Tak menyalahi undang2kah bersalin di rumah?
- Tak bahayakah?
- Tak sakitkah bersalin tanpa painkiller?
- Macamana boleh bersalin sendiri? Bukankah bersalin mesti ikut arahan (doktor@bidan)?

Dan macam-macam lagi tanda tanya yang memandu saya untuk terus menggali lagi jawapan.


Booth jualan Kedai Mama And Kids di Majlis "Celebrating Birth and Motherhood on IWD",
sedutan dari segmen Wanita Hari Ini TV3.

Peluang pertama saya adalah ketika saya menyertai suatu majlis ceramah & forum berkenaan kelahiran natural iaitu Celebrating Birth and Motherhood on IWD anjuran The Gentle Birthing Group Malaysia pada Mac '13 di The Grand Seasons Hotel. Di situ saya dengar secara langsung berkenaan preview kelas persediaan bersalin Hynobirthing dan AMANI. Kelas-kelas ini menawarkan teknik mengawal sensasi kontraksi dan mengetahui fisiologi tubuh wanita bersalin dan proses bersalin secara menyeluruh. Sangat berbeza dengan kelas antenatal anjuran hospital yang lebih menekankan prosedur hospital semata-mata. Suami saya juga mendengar kisah beberapa bapa yang menyambut kelahiran anak sendiri dalam satu sesi daddy-sharing session. Dalam forum pula, antara isu yang dibangkitkan adalah betapa wanita masa kini telah dinafikan hak untuk "memiliki" kelahiran itu, hanya menyerah diri bulat-bulat diperlakukan ketika bersalin dan tidak tau haknya sebagai wanita yang sihat bukannya sakit (bersalin adalah proses semulajadi, bukannya sejenis penyakit).


Penerangan berkenaan posisi bersalin
oleh Karin Heinimann, certified doula.


Setelah itu kami suami isteri sepakat untuk mengikuti kelas persediaan bersalin AMANI untuk belajar lebih lanjut tentang natural birth. Sis Hanz Jamaluddin, pengajar kelas kelahiran kami menekankan di dalam kelas bahawa kelahiran natural boleh dialami di mana-mana sahaja samada hospital, rumah, air mahupun dalam kereta. Cukupkan diri dengan ilmu supaya bersedia bersalin di mana sahaja.

Kelas persediaan kelahiran ini mewajibkan kedua-dua suami isteri ke kelas, kerana kelahiran juga merupakan suatu tanggungjawab bersama bagi setiap pasangan, dan bukan hanya si isteri sahaja. Suami akan menjadi pemberi semangat, pembantu dan juga penegak hak ibu di saat melahirkan. Jadi ilmu ini harus dipelajari bersama.


AMANI Childbirth Preparation Class Batch 2 with CBE Hanz Jamaluddin.
Classmates: Kak Shada (BigEyes Shop) & husband, Sumayyah & Dr Salman.

Di kelas, kami belajar tentang pemakanan dan senaman, serta proses bersalin dan posisi pelbagai mengikut keselesaan ibu ketika melahirkan, dan juga penjagaan postnatal. Aspek utama yang menjadi asas adalah penyerahan diri kepada Yang Maha Pencipta, dan percaya bahawa Dia menciptakan tubuh wanita itu sempurna dan mampu melakukannya sendiri bila tiba masanya. MashaAllah. Sesuatu yang kebanyakan kita terlupa dan menjadikan yang lain (painkiller contohnya) sebagai pergantungan harap.


Gymball untuk senaman ketika mengandung
& juga ketika melayan sensasi kontraksi melahirkan.
Beli 2 biji sebab anak-anak pun nak join juga. ;)


Rancangan awal kami adalah melahirkan anak ketiga di hospital di bawah seliaan doktor yang menyokong kelahiran natural. Oleh itu, saya mencari doktor yang pro-natural untuk pemeriksaan sepanjang tempoh hamil dan menyambut kelahiran. Kami memilih Dr Roslan di Hospital Selayang dalam Skim Pesakit Bayar Penuh atau Full Paying Patient Scheme (FPP) yang kebetulan hanya 5 minit dari rumah kami. Dr Roslan sudahpun sedia maklum dengan permintaan kami untuk natural birth, dan memberi sokongan pada birth plan kami. Walaupun begitu, terdapat 1-2 permintaan dalam birth plan kami ditolak kerana prosedur hospital yang tidak boleh dielakkan. Menurut Dr Roslan juga, di Hospital Selayang terdapat ruang Mother-friendly Room untuk ibu-ibu yang memilih untuk bebas bergerak ketika menunggu fasa active-labor.


My visual birth plan. Konon nak pampangkan
di tepi katil wad atau labor room. 

Isi kandungan birth plan saya:


Name: (Me) & (Spouse)

Dear Health-Care Provider,

MY BIRTH PLAN WORKSHEET


Attendants and Amenities

1. I love my partner to be present during labor and birth : (Spouse Name)

2. I'd also like :
 -to bring the music
 -to dim the lights


Labor

1. I'd like the option of returning home if i'm not in active labor

2. Once admitted, I'd like :
 -My partner to be allowed to stay with me at all times
 -Only my practitioner, nurse, and guest present (NO residents, medical students or other hospital personnel)
 -To eat if I wish to
 -To stay hydrated by drinking clear fluids (NO routine IV drips)
 -To walk and move around as I choose

3. As long as the baby and I are doing fine, I'd like:

 -To be allowed to progress free of stringent time limits

4. When it is time to push, I'd like to do so instinctively.

5. I's like to try any positions (whatever feels right at the time) for pushing (and birth).


Vaginal Birth

1. I'd like:
 -to have NO episiotomy
 -to have NO ARM

2. After birth, I'd like:

 -To hold my baby right away (skin-to-skin) 
 -To breastfeed as soon as possible
 -To wait until the umbilical cord stops pulsating before it's clamped and cut


C-Section

1. If I have a c-section, I'd like:

 -To breastfeed my baby in the recovery room


Feeding

1. After delivery, I'd like:
 -All newborn procedures to take place in my presence
 -I want to breastfeed my baby exclusively and on demand
 -Do not offer anything to my baby (formula, sugar water and pacifier)
 -I'd like 24-hour rooming-in with my baby



In case of emergency, we'll leave to the expert decision to do whatever necessary to save lives. Otherwise, we will be fully responsible for our decisions and we plead for it to be respected.

Thank you.

Sincerely Yours,

..............................
(MY NAME & IC No.)

..............................
(SPOUSE NAME & IC No.)



Bersambung...

Wednesday, 13 March 2013

Bedung Moden Berzip Gugu!

Assalamualaikum semua,

Tinggal beberapa bulan saja lagi sebelum saya melahirkan anak ketiga. Terasa sedikit berdebar kerana sedar tak sedar, satu persiapan pun saya tak buat lagi. Sangat bersemangat untuk bantu ibu-ibu lain sediakan kelengkapan bersalin dengan menjual Gugu Swaddle Pod dan kelengkapan lain, sampaikan terlupa dengan diri sendiri. Hehe...

Tiap-tiap bulan ada saja koleksi bedung moden berzip Gugu Swaddle Pod yang baru dan mencuit hati. Rasa tak sabar nak pakaikan bedung ni pada anak ketiga nanti. Sewaktu permulaan penjualan bedung moden, anak kedua saya tak sempat mencubanya sebab dah besar dan sudah tak berbedung.

Pada mulanya, saya dah aim nak simpan satu helai corak Owl dari Koleksi Januari '13 (lihat dua dari kiri). Comel kan? Saya jatuh hati dengan kecomelan burung hantu merah jambu dan oren.


Koleksi Januari sangat terhad di KedaiMamaAndKids.com.


Sehinggalah baru-baru ini Gugu Swaddle Pod Koleksi Mac '13 pulak tiba. Alamak, lebih cutelah corak-coraknya! Semua corak terbaru, tak pernah lagi dikeluarkan sebelum ni.


Koleksi terbaru bulan Mac '13 di KedaiMamaAndKids.com.



Corak bintang-bintang Lucky Stars dan Pinky Stars, serta Dotty Dots nampaknya universal, sesuai kalau tak tahu jantina anak yang bakal lahir nanti. Kalau confirm anak perempuan, Butterflies dan Cutie Dots pasti daku grab! Purple Flowers pun tak kurang comelnya...Hei, dah rambang mata pula. Tak tahu nak pilih mana.

Suami saya kata, tak payah nak pening-pening pilih. Nanti bulan-bulan depan pasti akan ada keluaran baru dengan warna dan corak yang macam-macam lagi. Pakai saja mana-mana bedung moden Gugu yang ada dalam stok ketika anak lahir nanti. Tak kisah corak apa, janji pemakaiannya tetap praktikal. Hehe.....