Friday, 12 August 2011

Bersalin di Hospital Pakar Al-Islam


Alhamdulillah... Aku dah selamat melahirkan anak kedua di Hospital Pakar Al-Islam sehari selepas perhimpunan Bersih 2.0 yg lalu. Hospital ni terletak betul2 di hadapan salah satu tempat berkumpul org2 Bersih itu. Nasib baik aku tak bersalin ketika Perhimpunan Bersih tu berlangsung. Payah juga nak ke hospital dengan jalan2 sekitar KL ditutup.

Dalam posting kali ni, aku akan berkongsi serba sedikit pengalaman aku bersalin di Hospital Pakar Al-Islam. Bagi menyambut kelahiran anak kedua ini, aku mengambil Pakej Bersalin Normal yang bernilai RM1.3k.



Antara tujuan melahirkan di hospital swasta adalah kerana kami sekeluarga sudah merancang untuk menyimpan darah tali pusat anak kedua kami. Perkhidmatan
menyimpan sel stem tali pusat yg kami pilih adalah Stemlife. Menurut pegawai Stemlife yg menguruskan sel stem anak kami, buat masa ini hospital kerajaan tidak membenarkan prosedur pengambilan sel stem tali pusat sewaktu bersalin. Keadaan mungkin berbeza pada masa hadapan, dan akan lebih mudah untuk setiap keluarga menyimpan darah tali pusat bayi masing2.



Berbalik kepada pengalaman bersalin. Ada beberapa perkara yg aku kira penting untuk keselesaanku yg bakal menimang anak (selain bajet - perkara terpenting!). Senarai keselesaan ini berdasarkan pengalaman pertamaku bersalin di salah sebuah hospital kerajaan.


1) Kemesraan staf

Doktor dan staf-staf wad bersalin memang mesra. Seorang staf - Kak Khairul, sangat2 membantuku sepanjang proses bersalin. Sejak masuk ke wad, dia yg melakukan CTG dan pemeriksaan vagina. Di bilik bersalin, Kak Khairul dan seorang lagi bernama Emy memberi 'berbakul-bakul' kata semangat untuk aku tenang dan bersemangat sepanjang sakit kontraksi dan seterusnya meneran. Kiranya, kemesraan staf membuatkan aku dan suami rasa kurang tertekan di saat-saat genting melahirkan anak. Dan selepas letih bersalin, Kak Khairul membancuhkan secawan Vico dan memberiku sekeping roti untuk mengembalikan tenaga yg telah diperah semahu-mahunya tadi.


2) Waktu melawat

Waktu melawat yg sangaaaat panjang - jam 10 pg hingga ke 10 mlm. Aku melahirkan selepas waktu Zuhur, jadi dapatlah aku bertemu dengan mertua dan keluarga hingga ke malam hari. Bertemu dengan kaum keluarga memang sangat2 memulihkan emosi seorang ibu yg baru sahaja selamat bertarung nyawa. Berbeza sewaktu kelahiran anak pertama, yg pada ketika itu dimasukkan ke wad hampir tengah malam. Sangat2 terseksa menjadi seperti 'tahanan', disindir sinis oleh guard kerana suami ber'degil' untuk pulang kerana membantuku sebentar untuk ke tandas. Rasa tak sabar2 untuk keluar dari wad esok. :(

Namun, disebabkan tiada had umur untuk pelawat, jadi keadaan wad sedikit bising dengan kehadiran pelawat kanak-kanak. Ketika aku sedang sakit di bilik bersalin, kedengaran suara kanak-kanak seusia anakku yg sulung menangis tak henti-henti. Terasa konsentrasi sedikit terganggu sebab tiba-tiba teringat anak sulungku di rumah.


3) Keselesaan fasiliti

Oleh kerana aku dah merasa duduk wad ala-ala dorm, kali ini aku duduk di wad berempat. Walaupun open ward, tapi masih ada privasi untuk setiap pesakit sebab ada langsir membahagi setiap ruang katil pesakit. Katilku di tepi tingkap menghadap KLCC, dan berpenghawa dingin. Tandas sangat dekat, hanya beberapa tapak dari katil, dan disediakan mandian air panas.

Katil bersalin di wad bersalin pula ada tiang untuk 'memacak'kan kaki ketika dalam posisi untuk bersalin. Jadi tak perlulah kita memegang kaki, dan kalau terangkat kaki boleh menyebabkan luka perineum terlebih besar dari saiz biasa. Ouuchh..!

Nurseri bayi juga disediakan. Setelah penat bersalin, segala urusan bayi diuruskan. Yay!! Bayi diserahkan ketika waktu menyusu badan. Namun, oleh kerana hospital ini bukan hospital rakan bayi, staf perlu diberitahu jika mahu menyusukan bayi sepenuhnya. Anakku dah pun disusu botolkan ketika aku berada di bilik mandi. Huhu..


4) Terapi Al-Quran, Zikir dan Doa

Suasana di wad dan ruang bersalin terasa sangat tenang dan damai kerana ayat suci Al-Quran sentiasa diputarkan - aku kira 24 jam tanpa henti! Dengan terapi Al-Quran begini sangat memberi ketenangan dalam hati seorang ibu yang sedang mempertaruhkan nyawa untuk melahirkan seorang insan.

Sewaktu dimasukkan ke wad, saya diberikan senaskhah Al-Mathurat. Sementara menunggu masa untuk diperiksa, sempatlah saya membaca zikir yang terkandung dalam naskhah bersaiz poket itu. Apabila dimasukkan ke bilik bersalin pula, bidan memberikan sehelai kertas yang terkandung zikir dan doa untuk mengurangkan kesakitan ibu yang akan melahirkan.

Secara keseluruhannya, proses bersalin saya lebih tenang berbanding dengan kelahiran pertama dahulu yang penuh dengan stress kerana cemas (dan mungkin kurang berzikir).



5) Extra

- Setiap pesakit mendapat set mandian - berus gigi, ubat gigi, bedak, sabun, dan tuala. Jika tiba-tiba sakit hendak bersalin dan datang ke hospital sehelai sepinggang pun tak mengapa.

- Epidural sebagai penahan sakit paling efektif disediakan jika mahu. Cuma tambah sekitar RM 700 - RM 800 sahaja. Namun, aku dan suami sepakat untuk bertahan dan merasai 'nikmat' sakit bersalin sepenuhnya. Huhu..

- Hari kedua selepas bersalin, lampu panas dihalakan ke arah vagina selama 15 minit untuk mempercepatkan pengeringan luka perineum.

- Luka perineum yg TAK SAKIT. Aku boleh duduk seperti biasa, tak perlu duduk senget sebelah sampai 2 minggu seperti sebelum ini.

- Doktor O&G yg terlatih untuk menjalankan prosedur memotong dan menyimpan tali pusat ke dalam Stemlife Cord Blood Collection Kit sebelum dikutip oleh pegawai Stemlife.

- Dapat 'Sijil Bersalin' yg ada cap tapak kaki bayi dan cap jari ibu ayah di sebelahnya. Bolehlah dibuat kenang-kenangan betapa comelnya saiz tapak kaki anak sewaktu dilahirkan. :)


Sijil Selamat Bersalin dari Hospital Al-Pakar Al-Islam



Alhamdulillah pengalaman bersalin kali ini lebih tenang dan mudah. Untuk ibu-ibu yg bakal menimang cahayamata, didoakan semoga semuanya selamat dan menjadi pengalaman yg indah buat kalian.

Thursday, 5 May 2011

Pemeriksaan Antenatal Pertama di Hospital Al-Islam

Sebelum ini, aku buat pemeriksaan antenatal bulanan di Pusat Perubatan Naluri, Wangsa Maju. Kedudukan pusat rawatan ini pun tak jauh dari rumah dan tempat kerja suami, jadinya mudahlah nak ke sana walaupun temujanji dalam waktu bekerja. Sejak dari awal kehamilan aku buat pemeriksaan di situ dengan Dr Kamariah (Dr Kay).

Namun sejak bulan lalu, aku bertukar ke Hospital Pakar Al - Islam, Kampung Baru. Salah seorang kawan mencadangkan aku bersalin di sini. Berdasarkan pengalamannya yg lalu, situasi bersalinnya sangat tenang, dan doktor serta staf-staf sangat mesra dan membantu. Tambahan pula hospital ini berkonsepkan Islam, iaitu "Hospital Mesra Ibadah". Lokasi hospital ini betul-betul di hadapan Masjid Jamek Kg. Baru.

Pertama kali aku jejakkan kaki ke hospital ini, aku disambut dengan seorang staf wanita sebagai penyambut tetamu yg membukakan pintu utama hospital. Staf tersebut mengarahkan aku ke aras 1 untuk tujuan pendaftaran dan seterusnya pemeriksaan.

Di aras 1 terdapat beberapa doktor pakar mengikut bidang masing-masing. Aku pun tak berapa ingat kesemuanya, tapi yang pastinya pakar perbidanan (O&G) dan pakar kanak-kanak berada di aras ini. Di ruang menunggu, Balqis menghabiskan masanya bermain dengan seorang kanak-kanak bangsa asing. Bapanya China dan ibunya Arab. Aku pula membelek-belek brocur pakej bersalin yg hospital ini tawarkan. Untuk bersalin normal, pakejnya RM 1300 untuk bilik berempat.

Untuk pemeriksaan kali pertama ini, aku bertemu dengan Dr Norlida. Dr Ida sangat mesra bertanya sejarah kehamilan aku yang lalu dan juga kesihatan keluarga. Memandangkan aku tak bawa segala rekod kesihatan dari PPN, aku perlu ceritakan semuanya bermula dari tarikh haid aku yg terakhir. Kemudian, Dr Ida membuat pemeriksaan ultrasound untuk melihat anak dlm kandungan dan kedudukan plasenta. Alhamdulillah, semuanya ok.

Sebaik saja aku keluar dari bilik Dr Ida, kedengaran suara orang menengking-nengking dengan kuat. Rupa-rupanya orang China tadi sedang marah-marah pada staf di kaunter kerana tiba-tiba saja nombor giliran melompat. Sepatutnya jika ikut sekuen, nombornya yang akan muncul, namun nombor selepasnya pula yg mendapat giliran dahulu. Warga China tersebut tidak berpuas hati dengan jawapan dari staf yang mengatakan nombor selepasnya itu dipanggil dahulu kerana orang itu membuat temujanji, tetapi beliau tidak. Warga China itu membuat telahan yang pihak hospital sengaja berbuat demikian kerana racist dan melebih-lebihkan rakyat sendiri.

Tak sempat aku nak dengar (curi2 dengar sebenarnya) apa yang berlaku seterusnya, namaku dah dipanggil oleh staf untuk diberi penerangan tentang aku kena berpuasa untuk pemeriksaan diabetes dua minggu lagi. Sebenarnya aku tak berapa tumpu perhatian pada staf kesihatan itu sebab terganggu dengan suara orang marah-marah di belakang.

Selepas membuat pembayaran di kaunter, aku, suami dan Balqis pun pulang. Dalam perjalanan, aku masih terfikir benarkah kita ini bersikap racist? Beliau belum jumpa lagi orang yang benar-benar racist di negara ini... Hm... Rasanya pihak hospital perlu tukar sistem nombor giliran untuk mengelakkan kekeliruan seperti itu lagi. Bagi pesakit yang membuat temujanji, sepatutnya mendapat nombor giliran yang lain kelas dengan pesakit yang tiada temujanji.