Tuesday, 10 June 2014

Softique CloZet - Butik di Rumah yang Wow!

Minggu lepas diri ini menyemakkan diri meninjau-ninjau projek terbaru Acu di Bangsar. Beliau telah mentransfromasikan rumahnya menjadi sebuah "almari baju".

Almari bukan sebarang almari. Almari ini adalah medan bershopping santai para wanita sekitar Bangsar. Dah alang-alang makan tengah hari di Restoran Mahbub, maka silalah berjalan kaki ke Lucky Garden dan serbulah Softique CloZet Houseboutique.


Ketika sessi busy body tempoh hari, kelihatan para vendor sedang menyusun atur barangan jualan masing-masing. Tudung shawl, kasut, baju, dan kuih raya pun ada!



Antara ruang yang telah dipenuhkan oleh vendor-vendor.

Ruang-ruang yang telah dibooking oleh vendor-vendor Softique CloZet.


KedaiMamaAndKids.com pun tak nak ketinggalan menyibuk juga. ;)

Dah pun mula beroperasi pada 7 Jun 2014 yang lalu secara rasminya. Maka, kawan-kawan sekalian yang berada di Bangsar bolehlah membeli-belah di Softique CloZet Houseboutique. Dibuka dari jam 10 pagi hingga jam 10 malam, beralamat di No.4, Jalan Cenderai 2, Lucky Garden Bangsar. Jaraknya berjalan kaki tak sempat berpeluh dari Bangsar Village. Okay, kalau berpeluh pun tak apa, sebab butik ni berair-cond. :D


Maklumat lanjut boleh hubungi 013 678 4420 (Sofiah).


Saturday, 10 May 2014

Hari Ini Hari Emak

10/5/2014

Seawal pagi saya bangkitkan anak-anak untuk ke rumah Neksu mereka di Bangsar. Kedua-dua orang tua saya sudah dua malam di sana. Waktu cuti Johor dan Selangor berbeza, jadi kami hanya berkongsi hari cuti yang sama pada hari ini (Sabtu) sahaja. Kereta meluncur laju cuba berlumba waktu.

Tiba di Bangsar, Mak dan Abah sudah menanti di pagar untuk keluar membeli sarapan di gerai berhampiran. Pada awalnya berhajat untuk bungkus sahaja, tapi rezeki kami ada meja kosong, maka terus sahaja nasi lemak dan air teh tarik dipesan.

Mak sudah habis makan awal, jadi dia ambil giliran menjaga Ali sementara saya menikmati juadah sarapan saya pula. Mak bawa Ali pusing-pusing sekitar gerai makan.

Ternampak Mak berhenti berbual di meja sekumpulan warga emas berkopiah, boleh diagak mereka adalah geng masjid. Dan Mak kemudiannya melambai-lambai memanggil saya datang ke meja tersebut. Apakah halnya ya?

"Aliyah, inilah dia Dr. Salleh!" 

MashaAllah, akhirnya saya bertemu empat mata dengan doktor yang menyambut kelahiran saya hampir 30 tahun dulu di Hospital Bersalin Kuala Lumpur. Di hospital kerajaan (zaman dulu-dulu, tak pasti bagaimana pula sekarang) sangat jarang seorang doktor pakar menyambut kelahiran normal yang tiada komplikasi. Lazimnya bidan sahaja yang menyambut kelahiran kes berisiko rendah.

Oleh kerana bertuahnya kelahiran saya, Mak mengabadikan nama doktor pakar yang menyambut kelahiran saya itu sebagai tambahan nama saya di sijil kelahiran, iaitu Nuraliyah Sallehah. Bahkan sewaktu kecil, kakak saya pernah cemburu dengan kisah kelahiran saya, dan kemudian berseloroh "Nasib baik Dr. Salleh yang sambut tau. Kalau doktor tu nama Arumugam, macamana pulak?"

Dengan teruja, Mak memperkenalkan saya dengan nama penuh saya kepada Dr. Salleh pada pagi yang ceria itu. Dr. Salleh kini bertugas di Pusrawi sebagai pengarah. 

Pertemuan ringkas yang tak dirancang itu membuahkan senyuman di wajah masing-masing. Seperti mana saya selalu rasa teruja bercampur tersentuh hati setiap kali membaca atau menonton video kelahiran bayi, begitu juga kali ini. Walaupun tiada perincian jalan cerita kelahiran saya yang Mak pernah ceritakan kepada saya melainkan rasa sakit jahitan yang lambat baik, namun melihat kegembiraan yang terzahir di wajah Mak, saya dapat merasakan ianya salah satu pengalaman yang manis pernah berlaku dalam hidupnya.

Dan, apabila pulang ke rumah Acu (anak-anakku memanggil Neksu) setelah usai bersarapan, saya pula mendapat kejutan dari Balqis. Dia hulurkan sekeping kad ucapan •Happy Mother's Day, Mom•

Sejujurnya saya tak ingat pun hari itu ada sambutan hari apa. Namun yang nyatanya, saya gembira meluangkan seharian hari itu bersama Mak saya, Acu dan anak-anak serta ahli keluarga yang lain.

Doa saya Mak selalu dalam rahmat Allah, bukan sahaja pada hari yang khusus sahaja, tapi pada setiap hari yang telah berlalu dan hari-hari yang mendatang...

"Ya Allah ampunilah daku, dan kedua ibu bapaku. Dan kasihanilah mereka seperti mana mereka pernah memeliharaku sejak kecil lagi..."