Saturday, 10 May 2014

Hari Ini Hari Emak

10/5/2014

Seawal pagi saya bangkitkan anak-anak untuk ke rumah Neksu mereka di Bangsar. Kedua-dua orang tua saya sudah dua malam di sana. Waktu cuti Johor dan Selangor berbeza, jadi kami hanya berkongsi hari cuti yang sama pada hari ini (Sabtu) sahaja. Kereta meluncur laju cuba berlumba waktu.

Tiba di Bangsar, Mak dan Abah sudah menanti di pagar untuk keluar membeli sarapan di gerai berhampiran. Pada awalnya berhajat untuk bungkus sahaja, tapi rezeki kami ada meja kosong, maka terus sahaja nasi lemak dan air teh tarik dipesan.

Mak sudah habis makan awal, jadi dia ambil giliran menjaga Ali sementara saya menikmati juadah sarapan saya pula. Mak bawa Ali pusing-pusing sekitar gerai makan.

Ternampak Mak berhenti berbual di meja sekumpulan warga emas berkopiah, boleh diagak mereka adalah geng masjid. Dan Mak kemudiannya melambai-lambai memanggil saya datang ke meja tersebut. Apakah halnya ya?

"Aliyah, inilah dia Dr. Salleh!" 

MashaAllah, akhirnya saya bertemu empat mata dengan doktor yang menyambut kelahiran saya hampir 30 tahun dulu di Hospital Bersalin Kuala Lumpur. Di hospital kerajaan (zaman dulu-dulu, tak pasti bagaimana pula sekarang) sangat jarang seorang doktor pakar menyambut kelahiran normal yang tiada komplikasi. Lazimnya bidan sahaja yang menyambut kelahiran kes berisiko rendah.

Oleh kerana bertuahnya kelahiran saya, Mak mengabadikan nama doktor pakar yang menyambut kelahiran saya itu sebagai tambahan nama saya di sijil kelahiran, iaitu Nuraliyah Sallehah. Bahkan sewaktu kecil, kakak saya pernah cemburu dengan kisah kelahiran saya, dan kemudian berseloroh "Nasib baik Dr. Salleh yang sambut tau. Kalau doktor tu nama Arumugam, macamana pulak?"

Dengan teruja, Mak memperkenalkan saya dengan nama penuh saya kepada Dr. Salleh pada pagi yang ceria itu. Dr. Salleh kini bertugas di Pusrawi sebagai pengarah. 

Pertemuan ringkas yang tak dirancang itu membuahkan senyuman di wajah masing-masing. Seperti mana saya selalu rasa teruja bercampur tersentuh hati setiap kali membaca atau menonton video kelahiran bayi, begitu juga kali ini. Walaupun tiada perincian jalan cerita kelahiran saya yang Mak pernah ceritakan kepada saya melainkan rasa sakit jahitan yang lambat baik, namun melihat kegembiraan yang terzahir di wajah Mak, saya dapat merasakan ianya salah satu pengalaman yang manis pernah berlaku dalam hidupnya.

Dan, apabila pulang ke rumah Acu (anak-anakku memanggil Neksu) setelah usai bersarapan, saya pula mendapat kejutan dari Balqis. Dia hulurkan sekeping kad ucapan •Happy Mother's Day, Mom•

Sejujurnya saya tak ingat pun hari itu ada sambutan hari apa. Namun yang nyatanya, saya gembira meluangkan seharian hari itu bersama Mak saya, Acu dan anak-anak serta ahli keluarga yang lain.

Doa saya Mak selalu dalam rahmat Allah, bukan sahaja pada hari yang khusus sahaja, tapi pada setiap hari yang telah berlalu dan hari-hari yang mendatang...

"Ya Allah ampunilah daku, dan kedua ibu bapaku. Dan kasihanilah mereka seperti mana mereka pernah memeliharaku sejak kecil lagi..."






1 comment: